Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Pakistan giat selamatkan 1.6 juta orang yang terancam banjir besar
  • GLOBAL

Pakistan giat selamatkan 1.6 juta orang yang terancam banjir besar

Utusan Sarawak 14 hours ago
\

TENTERA Pakistan menyelamatkan penduduk kampung yang terjejas banjir dengan bot di Jalalpur Pirwala daerah Multan di wilayah Punjab pada 10 September 2025, selepas Sungai Chenab melimpah susulan hujan monsun lebat. Hujan monsun minggu ini melanda tiga sungai rentas sempadan yang merentasi wilayah timur Pakistan, kawasan pertanian negara dan rumah kepada hampir separuh daripada 255 juta penduduknya. Foto AFP

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan sedang bertarung dengan masa untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta orang yang terancam banjir besar apabila sungai melimpah ke kawasan kampung, menurut pegawai dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sejak akhir Jun, sungai melimpah, banjir kilat, banjir di bandar dan tanah runtuh akibat hujan monsun lebat, hujan lebat luar biasa dan limpahan tasik glasier telah meragut 928 nyawa, menurut agensi bencana PBB.

Hampir enam juta orang telah terjejas akibat banjir di wilayah Himalaya utara, kawasan pergunungan barat laut dan dataran tengah setakat ini, kata agensi itu.

Seramai 1.6 juta orang lagi berisiko dilanda banjir besar dan mungkin perlu dipindahkan atau diselamatkan, menurut Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), apabila sungai melimpah ke wilayah selatan Sindh.

“Kami telah memindahkan kira-kira 200,000 orang dari tebing sungai dan bersedia untuk menyelamatkan lebih ramai lagi,” kata Ketua Menteri Sindh Murad Shah.

Pasukan penyelamat dan tentera dengan sokongan bot serta helikopter telah memindahkan lebih dua juta orang di wilayah tengah Punjab, termasuk hampir 300,000 dalam tempoh dua hari lepas, menurut agensi itu.

Sekolah ditutup dan jalan raya lengang di bandar pelabuhan Karachi pada Rabu selepas hujan lebat semalaman menyebabkan hampir seluruh bandar itu ditenggelami air.

Monsun, musim hujan lebat di rantau Asia Selatan dari Julai hingga September, semakin tidak menentu dan lebih dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini akibat perubahan iklim, meragut ribuan nyawa dan menjejaskan jutaan orang setiap tahun.

Lebih 2,000 orang maut dalam banjir besar serta wabak penyakit susulan yang melanda Pakistan pada 2022.– Bernama-dpa 

Continue Reading

Previous: Pengerusi Oracle, Larry Ellison kini manusia paling kaya di dunia atasi Elon Musk
Next: Sekutu kanan Trump, Charlie Kirk ditembak mati di universiti AS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.