Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kuching diangkat sebagai kota gastronomi, warisan tersaji dalam setiap hidangan
  • TEMPATAN

Kuching diangkat sebagai kota gastronomi, warisan tersaji dalam setiap hidangan

Utusan Sarawak 1 day ago
DATUK Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berucap pada pameran Future Menus Chef di Restoran Hornbill, Kelab Sarawak hari ini.

KUCHING: Kuching bukan sekadar sebuah bandar untuk dikunjungi, sebaliknya ia adalah sebuah kota yang dapat dihayati melalui sajian makanannya, kata Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Menurut beliau, makanan merupakan identiti, kebanggaan dan bahasa cinta masyarakat tempatan yang dikongsi kepada dunia.

“Daripada semangkuk Laksa Sarawak yang menghangatkan jiwa hingga ke semangkuk Mi Kolok yang memberi rasa seperti pulang ke rumah, makanan kita adalah warisan dan cerita kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena pameran Future Menus Chef yang berlangsung di Restoran Hornbill, Kelab Sarawak, hari ini.

Dato Wee turut menegaskan bahawa pengiktirafan Kuching sebagai Bandaraya Kreatif Gastronomi UNESCO bukan sekadar satu anugerah, tetapi satu bentuk penghargaan kepada para cef, petani, artisan, dan seluruh komuniti yang berjaya mengangkat bahan-bahan ringkas menjadi pengalaman kulinari yang luar biasa.

DATO Wee Hong Seng bersama barisan cef tempatan yang turut hadir memeriahkan pameran itu hari ini.

Acara tersebut menyaksikan lima chef tempatan iaitu Cef Ken Jong, Cef Hadzrin, Cef Nigel, Cef Natalie dan Cef Tay mempersembahkan kreativiti mereka dengan mengolah bahan tradisional Sarawak seperti terung asam, midin dan kacangma menjadi hidangan berani dan inovatif, tanpa mengabaikan jiwa serta nilai tradisi.

Tambahnya lagi, usaha memperkenalkan seni kulinari wajar diperluaskan, bukan sahaja di hotel atau pentas profesional, tetapi juga ke peringkat sekolah.

“Dengan kerjasama Persatuan Cef dan Majlis Bandaraya, saya yakin generasi baharu mampu memahami nilai di sebalik setiap rempah, herba dan hidangan sekali gus memastikan budaya gastronomi Sarawak terus diwarisi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan bahawa Kuching kini dalam proses membida untuk menjadi tuan rumah Persidangan Bandaraya Kreatif Gastronomi UNESCO pada 2026.

“Bayangkan cef, penulis makanan dan pemimpin budaya dari seluruh dunia berkumpul di Kuching, merasai hidangan kita, mempelajari tradisi kita, dan membawa nama Kuching ke persada dunia sebagai ibu kota gastronomi yang berteraskan kreativiti dan budaya,” ujarnya.

“Ia adalah warisan dalam sesudu, budaya dalam sepinggan dan penyatuan dalam sebuah hidangan,” katanya sambil menggesa semua pihak agar terus menyokong para cef, memelihara tradisi dan berimpian besar demi masa depan gastronomi Kuching.

Oleh Adele Rissa

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Sarawak di peta global melalui Sarawak Delta Geopark
Next: Eksklusif: Cef tempatan tonjol inovasi sajian Sarawak berinspirasikan tren global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.