
KUCHING: Sebuah bot tunda bersama tujuh kru ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak ketika rondaan rutin dijalankan di perairan Kuching, di sini semalam.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot berkenaan ditahan sekitar 12.30 tengah hari di kedudukan 7.26 batu nautika utara Kuala Sadong.
Tindakan itu katanya dilakukan oleh pasukan rondaan Maritim Malaysia di bawah Op Tiris 3.0 dan Op Permai 01/2019.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan tujuh kru termasuk seorang nakhoda warga tempatan berusia antara 20 hingga 59 tahun,” jelas beliau dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.
Menurutnya lagi, bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, antaranya lesen bot tamat tempoh, gagal mempamerkan dokumen perkapalan serta tidak mengekalkan tanda nama kapal.

Susulan itu, bot bersama kru ditahan dan diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Sarawak sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang maritim yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
“Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang serta prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan insiden tidak diingini,” tambah beliau.
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544.
Oleh Adi Safarman