
BETONG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Spaoh bertindak pantas menangani kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan di Jalan Pakoh di sini, pagi tadi.
Menurut laporan APM Spaoh, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.18 pagi daripada orang awam yang memaklumkan terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya di kawasan berkenaan.
Susulan panggilan itu, pasukan APM Spaoh segera digerakkan ke lokasi pada 11.20 pagi dan tiba pada 11.50 pagi.
Pasukan Skuad Alpha yang diketuai oleh Prebet Augustine Dris Jabat bersama tiga anggota lain bertindak segera memotong dan membersihkan pokok menggunakan kelengkapan keselamatan serta peralatan khas termasuk gergaji berantai (chainsaw).

Kerja-kerja pembersihan selesai sepenuhnya pada 1.04 tengah hari dan laluan berjaya dibuka semula untuk kegunaan semua kenderaan. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden ini.
Operasi ini membabitkan empat anggota APM Spaoh dengan sokongan logistik termasuk sebuah kenderaan pacuan empat roda, peralatan keselamatan, serta alatan pembersihan.
APM Spaoh menegaskan bahawa kesiapsiagaan dan kerjasama erat bersama agensi lain serta orang awam amat penting dalam memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas di daerah ini.
Oleh Adi Safarman