Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Unimas lancar NaSTeC 2025, tonjolkan Sarawak sebagai hab biodiversiti tropika
  • TEMPATAN

Unimas lancar NaSTeC 2025, tonjolkan Sarawak sebagai hab biodiversiti tropika

Utusan Sarawak 2 days ago
JELASKAN… Datuk Len Talif Salleh ketika berucap pada Persidangan Sains dan Teknologi Semula Jadi (NaSTeC) 2025 edisi kedua di Raia Hotel, di sini, hari ini.

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) meneruskan langkah besar dalam bidang penyelidikan dan inovasi apabila menganjurkan Persidangan Sains dan Teknologi Semula Jadi (NaSTeC) 2025 edisi kedua yang menghimpunkan 152 peserta dari tujuh negara di Raia Hotel & Convention Centre di sini, hari ini.

Naib Canselor Unimas, Prof. Datuk Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, penganjuran itu menjadi bukti komitmen universiti dalam memposisikan Sarawak sebagai hab serantau bagi penyelidikan biodiversiti, inovasi dan kelestarian, seiring Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030)

“Melalui inisiatif Unimas Biodiversity Nexus yang bakal dilancarkan, universiti menetapkan agenda berani untuk menjadi pusat rujukan biodiversiti tropika dan inovasi kelestarian.

“Ia akan menjadi rangka kerja menyeluruh bersama kerajaan, industri dan komuniti dalam memelihara, memanfaatkan serta mengurus sumber biodiversiti secara lestari untuk generasi akan datang,” katanya.

Menurut beliau, NaSTeC 2025 turut memperlihatkan kekuatan kolaborasi melalui empat acara selari iaitu Simposium Sagu ASEAN ke-5 (ASAS), Persidangan Serantau Produk Semula Jadi, Perubatan Tradisional dan Herba ke-2, Simposium Rangkaian Satelit Borneo (BoSaN) serta Festival Idea 2025 yang menampilkan kreativiti pelajar bersama industri.

“Kesemua acara ini menjadikan NaSTeC lebih daripada sekadar persidangan, ia adalah satu perayaan ilmu, budaya dan usaha kolektif membina masa depan mapan,” jelasnya.

RASMIKAN... Datuk Len Talif Salleh menyempurnakan gimik perasmian Persidangan Sains dan Teknologi Semula Jadi (NaSTeC) 2025 edisi kedua di Raia Hotel, di sini, hari ini. 

Majlis turut menyaksikan pertukaran dua kerjasama penting iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unimas dan Bertam View Sdn. Bhd. (DJI Kakidrones Sarawak) serta Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Craun Research Sdn. Bhd. (CRAUN), yang menandakan usaha memperkukuh penyelidikan dan jaringan industri-akademia.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan perasmian yang dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, memuji komitmen Unimas dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global melalui sains, teknologi dan kelestarian.

“Tema persidangan tahun ini, ‘Memanfaatkan Sains dan Teknologi untuk Kelestarian Global’, amat tepat pada masanya ketika dunia berdepan cabaran berkaitan keselamatan makanan dan air, perubahan iklim, kehilangan biodiversiti serta ancaman kesihatan awam,” katanya.

Beliau menegaskan Sarawak mempunyai sumber semula jadi, pengetahuan tradisional serta warisan budaya yang kaya, namun negeri ini juga berhasrat menjadi ekonomi hijau dan digital berpendapatan tinggi.

“Untuk mencapai aspirasi ini, sains dan teknologi mesti berada di hadapan strategi pembangunan. Kita bangga melihat Unimas memainkan peranan strategik dalam transformasi ini,” tambahnya.

Awang Tengah berkata, kerajaan negeri kekal komited menyokong penyelidikan, pembangunan dan inovasi melalui agensi kerajaan, kerjasama dengan universiti, industri, komuniti serta rakan global.

“Persidangan seperti NaSTeC mampu membina jambatan baharu, menggalakkan pertukaran intelektual, dan mencetus idea-idea yang bakal membentuk masa depan,” katanya sambil menggesa pelajar serta penyelidik muda memanfaatkan platform itu untuk membina jaringan kerjasama rentas disiplin dan sempadan.

NaSTeC 2025 yang berlangsung selama dua hari dijangka menjadi wadah penting untuk mengukuhkan jaringan penyelidikan, melahirkan inovasi berimpak serta memperkukuh peranan Sarawak sebagai pusat biodiversiti tropika dan kelestarian global.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: More are falling prey to threats from loan sharks, says Michael Kong
Next: Model jual-dulu-bina-kemudian kekal pilihan terbaik untuk Sarawak – Dato Sim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.