
TOKYO: Japan Airlines (JAL) membuat permohonan maaf secara terbuka hari ini selepas seorang juruterbang yang mabuk menyebabkan kelewatan tiga penerbangan, sekali gus membawa kepada amaran kedua daripada Kementerian Pengangkutan Jepun dalam tempoh kurang setahun.
Presiden JAL, Mitsuko Tottori, mengadakan sidang media bagi menjelaskan insiden yang berlaku pada 28 Ogos, yang mana seorang juruterbang telah mengambil minuman keras secara berlebihan ketika berada di Hawaii dan gagal menerbangkan pesawat ke Nagoya keesokan harinya.
Kejadian itu menyebabkan kelewatan tiga penerbangan JAL, termasuk satu yang tertangguh sehingga 18 jam.
Dalam insiden berasingan pada hari yang sama, Ketua Pegawai Keselamatan JAL, Yukio Nakagawa, dipanggil oleh Kementerian Pengangkutan.
Beliau tunduk hormat sebagai tanda memohon maaf di hadapan wartawan ketika menerima surat amaran baharu daripada pegawai kanan kementerian.
Pada Disember tahun lalu, JAL telah melarang sepenuhnya pengambilan alkohol dalam kalangan kru penerbangan semasa penempatan kerja bermalam. Larangan itu susulan insiden dua juruterbang yang minum berlebihan sebelum penerbangan dari Melbourne ke Narita, dan cuba menyembunyikan perkara itu, menyebabkan kelewatan selama tiga jam.
Dalam sidang media tersebut, Tottori menegaskan bahawa syarikat akan memperketat pemeriksaan berkaitan pengambilan alkohol dan tahap kesihatan kakitangan.
“Kami mengambil isu ini dengan amat serius, apatah lagi ia berlaku walaupun langkah pencegahan telah diperkenalkan sejak Disember lalu,” katanya.
Menteri Pengangkutan Jepun, Hiromasa Nakano, turut menyuarakan kekecewaan terhadap insiden berulang itu.
“Insiden sebegini berlaku berulang kali kerana syarikat gagal memberikan pendidikan keselamatan yang menyeluruh kepada setiap kakitangan,” katanya.
“Ia amat dikesali,” tambah beliau.
Pada 2018, seorang juruterbang JAL turut ditahan di Britain sebelum penerbangan selepas didapati hampir 10 kali melebihi had alkohol dalam darah yang dibenarkan. – AFP