AKUN GIMAN
SIBU:Biro Pendidikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) membantah tawaran kontrak selama enam bulan kepada pengamal kesihatan untuk menyertai pasukan barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19.
Pengerusi Biro Pendidikan SUPP, Datuk Ding Kuong Hiing menyifatkan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu adalah tidak munasabah kepada golongan profesional muda dalam sektor perubatan.
“Biro Pendidikan SUPP sangat bersimpati dengan ahli farmasi, pegawai pergigian dan pegawai perubatan yang mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk menyelamatkan nyawa orang lain.
“Kami akan memperjuangkan mereka dengan kontrak yang adil dan munasabah dengan KKM,” jelasnya hari ini.
Ding yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong berkata, Biro Pendidikan SUPP berpendapat bahawa KKM harus menawarkan kumpulan pengamal perubatan jaminan masa depan perkerjaan dengan KKM.
“Dengan kontrak yang hanya bertahan enam bulan, di mana masa depan mereka dengan KKM? Ibu bapa mereka telah memberitahu Biro Pendidikan SUPP bahawa KKM perlu memberi jaminan masa depan pekerjaan kepada anak-anak muda ini.
“Mereka adalah pengamal perubatan muda dan masa depan perubatan negara kita. Malaysia menghadapi kekurangan pakar perubatan dan dalam beberapa tahun akan datang negara kita memerlukan mereka untuk bekhidmat demi negara.
“Mereka sewajarnya mendapat tawaran yang layak dengan kepakaran masing-masing,” ujarnya.
Katanya, Biro Pendidikan SUPP dengan ini mencadangkan KKM mesti menawarkan kontrak minimum lima tahun kepada ahli farmasi, pegawai pergigian dan pegawai perubatan muda kerana mereka mempertaruhkan nyawa sebagai barisan hadapan dalam menghadapi wabak Covid-19.
Semalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan 1,139 ahli farmasi, 852 pegawai pergigian (DO) dan 79 pegawai perubatan (MO) akan ditawarkan enam bulan kontrak perkerjaan untuk membantu negara menangani pandemik berkenaan.