




HANGZHOU (Zhejiang-China): Apabila disebut saja ‘healing’, istilah yang kini digunakan bagi merujuk proses merehatkan dan memulihkan diri dari segi fizikal ataupun emosi, pasti yang terlintas di fikiran kebanyakan kita ialah kawasan tepi laut ataupun kehijauan rimba, bergantung pada pilihan masing-masing.
Namun di China, ada satu trend yang kian mendapat perhatian, baik dalam kalangan masyarakat tempatan ataupun pelancong asing yang ingin ‘melarikan diri’ daripada hiruk-pikuk kota,
Di kawasan pergunungan Moganshan, kira-kira 80 kilometer dari sini, terletak The Seeker – sebuah kafe unik di dalam gua batu kapur semula jadi, dan kini menjadi tumpuan pengunjung untuk “healing” seketika.
Berpeluang menjejakkan kaki di kafe itu baru-baru ini, nyata ia bukan khabar angin diuar-uar bagi menarik kedatangan pelawat. Sebaik melangkah masuk ke dalam perut bumi itu, suasana dingin menyapa seakan-akan belaian lembut tangan ibu ketika memujuk anak kecil yang menangis – begitu menyamankan.
Sinaran lembut lampu LED memantulkan cahaya ke dinding batu mencipta bayang-bayang yang menyejukkan mata, sementara lelehan air dari dinding gua dan menitis ke lantai pula mencipta satu irama yang membisikkan ketenangan.
Mengekalkan landskap dan bentuk semula jadi gua batu kapur, The Seeker turut menawarkan air terjun buatan dan anjung tinjau bagi memaksimumkan pengalaman pengunjung ketika menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan itu.
Masing-masing duduk menghadap secangkir kopi, kebanyakan pelawat membiarkan diri mereka tenggelam dalam suasana yang mendamaikan itu tanpa sebarang kata-kata.
“Cuaca sangat panas di luar sana, tapi apabila berada di sini saya berasa nyaman dan selesa, sambil menghirup kopi dan menikmati pemandangan indah gua batu kapur ini,” kongsi pelawat dari Beijing Gultina Rizagul, 32 kepada Bernama.
Sebahagian besar wilayah di China pada ketika itu mengalami panas melampau dengan suhu purata di siang hari kira-kira 37 darjah Celsius, menjadikan The Seeker pilihan ramai pelawat, khususnya pelancong asing.
Kafe itu yang terletak di luar bandar utama, sebenarnya bukan sekadar hasil kreativiti pengusaha tempatan tetapi merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan China yang giat mempromosikan pelancongan kesihatan dan kesejahteraan.
Sejak 2016, kerajaan China melalui China National Tourism Administration memperkenalkan piawaian “National Health and Wellness Tourism Demonstration Base” yang memberi penekanan kepada keharmonian manusia dengan alam termasuk destinasi hutan terapi, spa semula jadi dan gua penyembuhan seperti The Seeker.
Bersifat serampang dua mata, iaitu memperkukuh kesihatan mental rakyat dan merangsang ekonomi luar bandar, inisiatif ini menawarkan pelbagai insentif seperti subsidi, penambahbaikan infrastruktur dan sokongan keusahawanan kepada yang mengambil bahagian, menyaksikan lebih 10 juta penduduk luar bandar berjaya keluar daripada kemiskinan hasil kerancakan sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Kerancakan ekonomi di kawasan luar bandar itu juga menyebabkan semakin ramai yang berkelana ke bandar besar bagi mencari rezeki kini kembali ke kampung halaman, antaranya Chen Lijun, 36, yang sebelum ini bekerja di Shanghai.
“Dulu kawasan gunung ini hanyalah hutan tebal, tetapi kini menjadi punca rezeki penduduk setempat. Bagi saya ini peluang untuk berbakti di kampung halaman selain dapat menjimatkan kos sara hidup berbanding tinggal di Shanghai,” katanya.– Bernama