TANJUNG MALIM: Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz yakin BN akan menang di semua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim termasuk enam PDM yang parti itu kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan faktor kerja berpasukan antara BN dan PAS di bawah semangat kerjasama Muafakat Nasional (MN) serta parti komponen lain dalam BN juga bekerja keras untuk meraih undi untuk gabungan itu.
“Kita minta supaya MCA, MIC letakkan sasaran tertentu undi dan kalau kita berjaya dapatkan undi-undi itu, insya-Allah kesemua enam PDM ini kita akan menang,” katanya kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersama pengundi di Pekan Slim, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Enam PDM yang BN tewas pada PRU-14 adalah Kampung Kuala Slim, Pekan Slim, Sungai Slim Utara, Pekan Lama, Ladang Kelapa Bali dan Ladang Sungkai.
PRK DUN Slim akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz, 43; dan dua calon Bebas iaitu S. Santhasekaran, 44; dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38; mewakili Parti Pejuang Tanah Air yang dalam proses didaftarkan.
Sebanyak 23,094 pengundi layak mengundi pada PRK Slim, 29 Ogos ini.
Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim selama empat penggal, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung pada 15 Julai. – Bernama