
KUALA LUMPUR: Lebih satu dekad bergelar anak seni, kerjaya penyanyi jelita Amira Othman terus mekar di pentas muzik tanah air berkat doa tanpa putus dan sokongan padu daripada ibu bapanya.
Biarpun usianya sudah menginjak 32 tahun, pelantun lagu popular Hati-Hati ini mengakui restu daripada insan tersayang itu masih menjadi tunjang kekuatannya, sama seperti ketika langkah awalnya dalam dunia hiburan menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ke-10.
Bagi Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman dan adiknya yang juga penyanyi, Irfan Haris, kehadiran ibu bapa dalam setiap detik penting kerjaya seni bukan sekadar sokongan moral tetapi juga sumber keyakinan yang membakar semangat mereka untuk terus berkarya.
“Saya dapat rasa semangat luar biasa bila nampak mak ayah di depan penonton. Walaupun sekarang sudah 32 tahun, saya masih perlukan sokongan mereka untuk terus yakin dan kuat,” kata Amira selepas majlis pelancaran single duet bersama-sama Irfan Haris berjudul Rasa & Takdir di sini, baru-baru ini.
Sentiasa tampil dengan senyuman manis, bakal suri hati selebriti terkenal Fattah Amin ini berkata dunia muzik tanah air yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran getir sememangnya boleh memberi tekanan hebat kepada anak seni sekiranya tidak mampu menanganinya dengan baik.
Namun baik Amira ataupun adik lelakinya, mereka percaya tekanan dan cabaran sebagai anak seni dapat ditangani dengan baik jika ibu bapa dijadikan rujukan.
“Bila ada tekanan atau rasa goyah, kami akan ingat pesan mak ayah supaya terus buat yang terbaik dan jangan cepat putus asa. Pelancaran single hari ini juga hasil dorongan berterusan mereka yang memberi keyakinan kepada kami untuk tampil berduet,” kata anak kelahiran Skudai, Johor ini.
Dalam pada itu, menurut Irfan, kelainan Rasa & Takdir ialah lebih menyentuh emosi berbanding karya sebelumnya, dengan melodi serta lirik yang begitu dekat di hatinya memandangkan hubungan rapat bersama-sama keluarga, khususnya Amira.
Sudah lama merancang untuk menghasilkan lagu duet dengan kakaknya itu, pelantun lagu Redha dan Pesan ini berkata impian hanya dapat direalisasikan tahun ini selepas menemukan karya yang benar-benar sesuai.
“Perancangan sejak 2023 tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa kekangan, namun saya percaya masa kini waktu terbaik untuk pelancaran. Kadang-kadang kita dah ‘planned’ tapi tak jadi. Tuhan cakap inilah waktu paling baik… jadi mungkin ketika ini masa paling tepat untuk kami keluarkan Rasa & Takdir,” katanya.
Lagu ini boleh didengari di semua platform digital.– Bernama