Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Menggantung “Dzanbun” pada Kota Kata-kata yang Tidak Sempurna
  • WBS

Menggantung “Dzanbun” pada Kota Kata-kata yang Tidak Sempurna

Utusan Sarawak 3 days ago

SAYA tidak mahu tidak teringat perihal esei Brian Dillon yang menyentuh perihal susun atur ayat seorang eseis bernama Elizabeth Hardwick dalam bukunya yang berjudul Essayism.

 “Beliau adalah pakar dalam mengungkapkan imej nan ganas.”

Pertemuan Elizabeth Hardwick dengan Billie Holiday dijelaskan secara rinci dengan perumpamaan-perumpamaan yang bertele-tele dan punya identiti tersendiri.

Brian Dillon menjelaskan lagi gaya kepengarangan aneh Elizabeth Hardwick dalam eseinya “The Cunning of Destruction” seperti berikut: – Elizabeth Hardwick digambarkan punya gaya kepengarangan yang sarat lirikalisme, suatu kaedah yang membolehkan dirinya selaku kritikus sastera membawa pembaca mendekati subjek yang dibangkitkan dengan bunyi-bunyian kata-kata yang menggoda disusuli imej dan metafora.

Beliau juga gemar mara dengan deretan analogi demi analogi, sehinggalah beliau ketandusan teknik pengaburan yang mendorongnya untuk melunaskan eseinya secara serius dengan kesimpulan nan polos.

 Hal ini yang saya ketemukan ketika membaca perenggan pertama cerpen “Dzanbun” ini:

“TUBUHNYA biru bak kebiruan yang melakari langit di siang hari. Tubuhnya keras bak batu yang tidak mampu dibengkokkan sama sekali. Matanya pula sayu bak patung yang tidak beratma.”

Sejujurnya, saya agak skeptikal apabila pengarang memilih untuk mengungkapkan sebuah naratif kisah penyiasatan dengan gaya bahasa yang sarat perkataan-perkataan lunak sebegini.

Ia boleh menjerumuskan pengarang ke dalam perangkap bahasa dengan pemilihan kata-kata janggal yang meski indah – gagal mendukung maksud yang cuba disampaikan. Paling merisaukan adalah pemilihan kata yang tidak tepat.

 “Setiap ayat adalah seekor haiwan pada mulanya.” – Ralph Waldo Emerson. Itu menjadi sebahagian daripada esei pemula Brian Dillon dalam bukunya yang berjudul “Supposed A Sentence”.

Ungkapan di atas memberikan suatu tafsiran bahawa selaku pengarang, penulis harus menjinakkan ayat-ayatnya agar memacu gerak penceritaan dan juga inti pati makna. Kita tidak mengenderai kucing untuk pergi ke pasar – ia akan gagal.

Kita tidak menghantar seekor singa untuk menghantar pesanan merentasi daratan yang jauh sepertimana seekor merpati boleh lakukan. Apa yang saya ingin jelaskan di sini adalah keperluan untuk menggunakan ayat yang seiring dengan nada penceritaan.

Sebelum saya menghurai lebih lanjut perkaitan antara cerpen “Dzanbun” dengan sedikit mukadimah perihal Hardwickian yang sedikit menyaduri gaya kepengarangan Nur Syahmin Shamsol ini, eloklah saya memulakan dengan sedikit pengenalan terhadap cerpen yang hendak ditelusuri inti patinya ini.

 “Dzanbun” adalah sebuah cerpen thriller – kisah pembunuhan, barangkalinya. Ia sebuah karya naratif moden yang berjaya menggabungkan elemen penyiasatan, psikologi dan tragedi kemanusiaan dalam satu adunan yang menggugah emosi pembaca.

Bermula dengan pembukaan penuh misteri, cerpen ini menempatkan pembaca dalam posisi watak utama yang berhadapan dengan kematian sahabatnya, Sofea, sekali gus mencetuskan rangkaian siasatan yang perlahan-lahan menyingkap kebenaran yang tidak mudah ditelan.

Kekuatan utama cerpen ini terletak pada penggunaan bahasa yang indah dan metaforikal. Penulis menunjukkan kemahiran yang tinggi dalam membina suasana dan emosi menerusi gaya bahasa puitis yang menghiasi hampir setiap perenggan.

Frasa seperti “pemergian yang menggoncang keheningan sukmaku” dan “air mukanya kekal tenang seakan-akan tiada ribut yang menggelorakan lautan” bukan sahaja memperlihatkan kekayaan bahasa penulis, bahkan juga memberi kedalaman psikologikal terhadap pengalaman watak.

Gaya bahasa ini mengingatkan kita kepada teknik naratif penulis-penulis sastera tinggi seperti Shahnon Ahmad atau Arena Wati yang banyak bermain dengan emosi dalaman dan konflik batin menerusi ekspresi yang berlapis-lapis.

Selain itu, kekuatan naratif yang digerakkan melalui sudut pandang watak pertama menjadikan cerpen ini lebih intim dan peribadi.

Pembaca diheret masuk ke dalam kekalutan fikiran dan ledakan emosi watak utama, Miya, yang berjuang menyingkap hakikat di sebalik kematian Sofea.

Teknik ini berkesan dalam mewujudkan empati, membina ketegangan serta memperkukuh kredibiliti naratif yang didasari perasaan tidak percaya dan kehilangan.

Unsur dramatik yang disampaikan melalui teknik monolog dalaman menjadikan perjalanan penyiasatan terasa lebih beremosi berbanding sekadar proses logik.

Dari segi struktur, cerpen ini memanfaatkan teknik jungkir balik atau kejutan yang disusun secara bertahap.

Bermula dengan kematian yang disangka bunuh diri, naratif berkembang kepada kemungkinan penderaan rumah tangga, sebelum akhirnya membuka tabir terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh mangsa itu sendiri.

Penceritaan yang bergerak dalam bentuk lapisan-lapisan ini mengingatkan kepada struktur cerita detektif dalam gaya klasik Edgar Allan Poe yang menuntut pembaca berfikir, meneka dan akhirnya menerima kebenaran yang tidak disangka-sangka. Teknik ini memberi impak yang kuat dan menjadikan cerpen ini mempunyai daya tarikan tersendiri.

Watak-watak yang ditampilkan juga dibina dengan cukup meyakinkan. Sofea, biarpun tidak hadir secara langsung dalam naratif kontemporari, tetap hidup dalam ingatan Miya dan penceritaan anaknya, Sarah.

Kekuatan watak Sofea digambarkan melalui pendirian hidupnya, perwatakan seninya dan hubungan rapatnya dengan Miya. Adam pula, meskipun hanya dilihat dari sisi Miya yang penuh prejudis, diperlihatkan sebagai antagonis yang kompleks.

Watak Sarah, dalam peranannya yang ringkas tetapi signifikan, bertindak sebagai pemecah kebuntuan kepada keseluruhan misteri. Unsur kanak-kanak yang menjadi suara kebenaran turut mengingatkan kita kepada motif “innocent truth-teller” dalam banyak karya sastera dunia.

Namun demikian, cerpen ini tidak terlepas daripada beberapa kelemahan yang perlu diberi perhatian. Kelemahan yang paling ketara ialah aspek pendedahan maklumat dan pembinaan logik penyiasatan yang kadang-kadang terasa tergesa-gesa dan kurang konsisten.

Sebagai contoh, penemuan mayat Adam di hujung cerita, walaupun dramatik, tidak cukup disokong oleh bukti-bukti yang sebelumnya dibina.

Hal ini boleh melemahkan kredibiliti naratif kerana pembaca tidak diberi petunjuk yang cukup untuk menjangkakan atau sekurang-kurangnya memahami kemungkinan itu.

Inilah apa yang saya ungkapkan pada awal ulasan selaku unsur “Hardwickian” – kecenderungan menamatkan naratif yang dibina kukuh dengan penamat yang tergesa-gesa dek kerana kekontangan daya emosi pengarang yang berlandaskan perasaannya selaku pemacu gerak kebinatangan teks.

Begitu juga dengan naratif berkaitan “ayah ada dua” yang disebut oleh Sarah. Ungkapan ini terlalu kabur dan tidak cukup diperjelaskan. Apakah maksud sebenar kenyataan itu?

Adakah ia merujuk kepada penderaan identiti, kembar seiras, atau personaliti berganda? Isu ini, meskipun disengajakan sebagai “pembayang”, tetap perlu diberikan kerangka penjelasan yang lebih konkrit supaya pembaca tidak terasa “dikhianati” pada akhir cerita. Dalam kritikan sastera, aspek “fair play” antara pengarang dan pembaca adalah penting, khususnya dalam genre penyiasatan.

Cerpen ini juga menggunakan elemen dramatik dengan agak berlebihan di beberapa tempat, misalnya penggunaan bahasa metaforikal yang terlalu berat secara konsisten menyebabkan emosi yang ingin dibina menjadi sedikit klise dan berulang.

Ungkapan-ungkapan seperti “lebih iblis daripada iblis” atau “di pentas hukuman yang berlumurkan darah sesalanku” meskipun bersifat sasterawi, boleh melemahkan kesan dramatik apabila digunakan terlalu kerap tanpa variasi.

Di samping itu, pengarang harus memikirkan kesesuaian narator dengan laras bahasa yang diguna pakai. Bahasa metaforikal yang digunakan itu seolah-olah tidak seiring dengan pembawaan naratif thriller yang seharusnya berfokus pada pembukaan plot demi plot. Justeru, ayat ringkas dan padat akan membuatkan naratif yang dituturkan seorang detektif selaku pencerita akan lebih meyakinkan pembacaan.

Untuk memahami kesesuaian naratif ini, pengarang harus merenung kembali aspek penceritaan dari pelbagai sudut demi mengabsahkan kelogikan fiksyen yang digarap. Miya, selaku seorang penyiasat, bercerita dengan nada sarat metaforikal dan sasterawi kedengaran janggal dan tidak kena dengan karakternya.

Seandainya pengarang memutuskan untuk menggunakan sudut pandangan ketiga selaku narator, penggunaan laras bahasa yang berbunga-bunga begini akan lebih mudah diterima.

Selain itu, watak Miya sebagai penyiasat kadangkala hilang profesionalismenya terlalu drastik. Peralihan daripada detektif kepada individu yang emosional dan bertindak luar kawalan perlu diberi justifikasi psikologikal yang lebih kukuh.

Dalam banyak karya fiksyen detektif, walaupun wujud elemen emosional, watak utama masih digambarkan memiliki batasan etika kerja yang jelas. Dalam cerpen ini, Miya menampar suspek, membuat andaian semberono dan akhirnya memecah masuk rumah — tindakan yang tidak selari dengan etika profesional.

Kerencatan pada logik fiksyen sebegini menzahirkan keperluan untuk pengarang memahami psikologi watak berdasarkan profesion sebelum mengguna pakai watak.

Justeru, selaku pemula, pengarang harus mengehadkan terlebih dahulu pemilihan watak berdasarkan individu-individu yang dikenali selaku kerangka asas pembinaan watak.

Ia lebih mudah berbanding memilih watak yang berada jauh daripada diri pengarang yang menuntut kajian mendalam melalui carian internet yang barangkalinya tidak begitu tepat.

Dari sudut teknik naratif, penggunaan suspense dan cliffhanger dalam cerpen ini cukup berkesan. Namun, gaya penutup cerita masih menimbulkan banyak pertanyaan yang tidak berjawab. Misalnya, siapakah sebenarnya Adam yang hidup itu?

Jika Adam sudah mati, bagaimana seorang lagi Adam boleh wujud dan dilihat oleh Miya? Hal ini boleh disimpulkan sebagai kekeliruan identiti atau mistik, tetapi tidak cukup dikembangkan untuk menjadi satu konklusi yang meyakinkan.

Cerpen yang baik bukan hanya mencetus persoalan, tetapi juga menawarkan kemungkinan jawapan atau ruang refleksi yang sewajarnya. Itulah cabaran untuk menghasilkan sebuah naratif yang mempunyai penutup yang tergantung sebegini.

Cliffhanger – suatu teknik yang mengujakan sekiranya persoalan yang dibawa itu sesuatu yang besar dan punya ruang perbincangan meluas dalam kalangan masyarakat. Dalam sesebuah cerpen yang harus padat dan ekonomikal naratifnya, gagasan besar sesuatu idea harus digilap inti patinya dengan menyisihkan ropol-ropol kata yang tidak perlu.

Gagasan besar yang dimaksudkan ini lazimnya sesuatu yang masih hangat dibahaskan baik buruknya dalam kehidupan seharian – sebagai contoh gejala buli dan akarnya serta krisis Israel–Gaza yang tidak diketahui solusi terbaiknya.

Cliffhanger akan mendorong keterujaan pembaca dengan memperkenalkan suatu sudut berbeza yang juga perspektif yang diperbaharui lantas menjentik intelektualiti pembaca.

Namun, berbeza dengan sebuah thriller, cliffhanger lazimnya adalah sebuah alatan plot yang mendorong pembaca untuk membaca lembaran demi lembaran baharu sehingga ke titik tamat pembacaan.

Bab demi bab disudahkan dengan persoalan demi persoalan yang akan dijawab seiring perjalanan cerita dan dimuktamadkan di pengakhiran cerita. Perkara ini tipikal dan lazim diguna pakai dalam sebuah novel thriller.

Oleh yang demikian, apabila meninggalkan sebuah cerpen yang tergantung pengakhirannya sebegini – ia hanya menghadirkan suatu kehampaan pembacaan.

Dari segi langkah penambahbaikan, penulis boleh mempertimbangkan untuk memperkukuh bahagian peralihan naratif.

Setiap jungkiran plot  perlu diiringi dengan bukti naratif yang mencukupi agar pembaca dapat mengesan petanda secara halus.

Perkara ini bukan sahaja memberikan kepuasan intelektual, malah membina kredibiliti cerpen sebagai satu genre fiksyen penyiasatan yang mapan.

Penulis juga boleh mengurangkan penggunaan bahasa yang terlalu metaforikal pada bahagian tertentu agar kepelbagaian gaya dapat dikekalkan.

Untuk memperdalam dimensi psikologikal watak, penulis disarankan untuk mengkaji secara lebih mendalam mengenai trauma, gangguan jiwa atau pengalaman pascakematian yang dialami oleh individu dalam konteks realiti.

Dengan cara ini, perwatakan Miya dan Sofea akan menjadi lebih kompleks dan realistik. Penulis juga boleh meneliti teori psikoanalisis Freud, khususnya mengenai repression dan displacement dalam memahami reaksi Miya terhadap kematian Sofea dan kebenciannya terhadap Adam.

Cerpen “Dzanbun” merupakan satu percubaan naratif yang berjaya dalam membina ketegangan, emosi dan pemikiran yang mendalam.

Meskipun terdapat kelemahan dari sudut struktur logik dan keseimbangan gaya bahasa, karya ini tetap berdiri sebagai sebuah cerpen yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dalam bentuk novela atau adaptasi visual.

Saya melihat Elizabeth Hardwick dalam kepengarangan Nur Syahmin Shamsol dan diperingatkan betapa mustahaknya kepengarangan bertunjangkan emosi itu harus dikawal demi memastikan mutu penceritaan dimalarsegarkan.

Dengan sedikit pengemaskinian dan pengukuhan naratif, penulis ini berpotensi menjadi antara suara baharu yang membawa pendekatan psikologi dan dramatik dalam sastera kontemporari Melayu.

Cerpen ini mengangkat persoalan dosa, persepsi terhadap moral dan kemampuan manusia menyembunyikan sisi gelap dalam senyuman yang tenang.

Di situlah letaknya kekuatan besar karya ini: dalam keupayaannya mengingatkan kita bahawa kebenaran kadangkala tertanam di dalam tanah, menunggu untuk digali — bukan sahaja secara fizikal, tetapi juga secara batiniah.

Oleh Lokman Hakim

Continue Reading

Previous: Mendandan Emosi, Membijaksanakan Pembaca 
Next: Sajak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.