
Barcola meraikan jaringannya. Foto AFP
PARIS: Perancis bangkit daripada kesilapan dilakukan Michael Olise untuk menewaskan Iceland 2-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi, sekali gus mencatat kemenangan kedua berturut-turut meskipun Aurelien Tchouameni dilayangkan kad merah dan gol penyamaan lewat permainan dibatalkan.
Olise melakukan kesilapan besar apabila menghadiahkan gol pembukaan kepada Andri Gudjohnsen di Parc des Princes, sekali gus meletakkan Perancis berisiko mengalami kekalahan pertama di laman sendiri dalam aksi kelayakan sejak 2013.
Kylian Mbappe menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tepat sebelum rehat, sebelum meloloskan diri untuk membantu bekas rakan sepasukan di Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola menjaringkan gol kemenangan selepas sejam permainan.
Tchouameni kemudian diarah keluar padang sebelum jaringan penyamaan Gudjohnsen dinafikan menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mencetuskan kontroversi, menyaksikan tuan rumah bertahan sehingga tamat perlawanan, sekali gus mengulangi kemenangan 2-0 ke atas Ukraine dalam aksi pertama sebelum ini.
Walaupun masih jauh daripada prestasi terbaik, juara Piala Dunia 2018 dan naib juara edisi 2022 itu kini berada di kedudukan selesa Kumpulan D dengan enam mata maksimum.
“Ia sangat positif kerana kami meraih enam mata tetapi ia perlawanan yang sukar menentang pasukan yang bertahan.
“Kami dihukum dengan satu-satunya kesilapan kami. Kami mencipta banyak peluang tetapi kami masih boleh beraksi lebih baik,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.
Iceland berada di tangga kedua kumpulan dengan tiga mata, manakala Ukraine dan Azerbaijan masing-masing mengutip satu mata selepas seri 1-1 di Baku.
Les Bleus, yang sudah layak ke setiap edisi Piala Dunia sejak 1994, selepas ini akan menentang Azerbaijan di laman sendiri sebelum bertandang ke Iceland pada Oktober.-AFP