
BINTULU: Sesi Dialog Kontinjen Sarawak 2025 menjadi platform penting dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat, terutamanya dalam usaha mencegah jenayah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, penganjuran sesi yang bertemakan ‘Berandau Begulai Mencegah Jenayah’ membuka ruang kepada masyarakat untuk menyalurkan pandangan, cadangan serta aduan secara langsung kepada pihak berkuasa.
“Dialog ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuh kefahaman, menyelesaikan cabaran serta meningkatkan semangat kerjasama antara PDRM dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Lembaga Pelabuhan Bintulu, di sini hari ini.


PARA hadirin yang mengikuti program Sesi Dialog Kontinjen Sarawak 2025 di Auditorium Tanjung Kidurong, Lembaga Pelabuhan Bintulu hari ini.
Menurut Johnny Pang, keterbukaan seperti ini amat penting bagi menangani isu-isu seperti jenayah indeks, penyalahgunaan dadah, dan penipuan dalam talian secara lebih berkesan.
Dalam ucapannya, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada PDRM Kontinjen Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu atas komitmen mereka dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Tambah beliau, pengorbanan anggota PDRM di barisan hadapan amat dihargai dan wajar disokong oleh masyarakat melalui kerjasama aktif dalam pencegahan jenayah.
Johnny Pang turut menggesa jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan sektor swasta agar memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak polis demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kesejahteraan masyarakat hanya dapat dicapai melalui hubungan erat antara agensi penguat kuasa, kerajaan dan komuniti,” jelasnya.
Sesi dialog tersebut mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat, sekali gus mencerminkan sokongan padu terhadap usaha berterusan membanteras jenayah.
Oleh Carolyne Utih