







MIRI: Jauh di tengah rimba tropika Sarawak, di sebalik tebing batu kapur purba yang megah berdiri, tersembunyi sebuah keajaiban alam yang bukan hanya memukau mata, tetapi juga menyentuh rasa dengan panorama geologi berusia jutaan tahun.
Dinamakan Gua Air Jernih, Tapak Warisan Dunia UNESCO ini merupakan gua bawah tanah terpanjang di Asia Tenggara serta kelapan terpanjang di dunia, terbentang sejauh 265 kilometer dalam perut bumi di Taman Negara Mulu.
Terkenal dengan keindahan sungai jernihnya yang mengalir deras dari celahan dinding batu kapur purba, justeru, pengembaraan meneroka keistimewaan gua itu agak mencabar dengan pendakian hampir 200 anak tangga batu.
Namun, segala keletihan mengerah kudrat nyata berbaloi sebaik disajikan dengan panorama anugerah alam yang sukar dicari bandingnya di tempat lain.
“Gua Air Jernih ini terkenal dengan reka bentuknya yang indah dan flora serta fauna unik dan pengunjung boleh menikmati formasi batu kapur hanya melalui laluan disediakan sejauh 800 meter tanpa perlu masuk lebih jauh ke dalam,” kata Richie Philip, 35, pemandu pelancong Taman Negara Mulu.
Berpeluang meneroka gua berkenaan menerusi program Familiarisation Trip ke Taman Negara Mulu anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak dengan kerjasama Gaya Travel Media baru-baru ini, sekali gus memberi penulis pengalaman berharga menyingkap keindahan gua bawah tanah itu.
Perlu menyusuri Sungai Melinau dari tempat penginapan, penerokaan penulis sepanjang perjalanan ke gua itu disajikan dengan pemandangan indah tebing batu kapur, rimbunan hutan tropika dan sesekali rumah panjang masyarakat asal yang menghiasi perjalanan.
Selepas mengambil masa kira-kira 15 minit menongkah arus sungai, kelihatan sebuah jeti kayu kecil yang menjadi pintu masuk Gua Air Jernih sebelum bermulanya cabaran sebenar pendakian hampir 200 anak tangga batu demi menikmati keindahan gua bawah tanah itu.
Di pintu masuk gua, khazanah flora di taman negara ini turut menanti antaranya, “one leaf plant” (Monophyllaea pendula), tumbuhan unik yang hanya mempunyai sehelai daun di sepanjang hayatnya dan orkid slipper (Paphiopedilum sanderianum), spesies orkid eksotik dengan kelopak panjang menjuntai dan hanya tumbuh di kawasan batu kapur di Borneo.
Nikmat sebenar penerokaan pastinya menanti di kaki gua apabila pengunjung boleh bermandi-manda di sungai yang jernih dan sejuk yang mengalir dari dalam gua, bagaikan hadiah istimewa selepas penat mendaki tangga panjang dan melalui perjalanan penuh kagum di dalamnya.
“Air sungai di dalam gua yang berpunca dari Gunung Api mengalir keluar Sungai Melinau pula menjadi habitat kepada spesies unik seperti ‘blind crab’, ‘blind cat fish’ dan ‘soft-shelled turtle’.
“Walaupun airnya kelihatan begitu jernih, pengunjung dinasihatkan untuk tidak minum secara terus kerana dikhuatiri tercemar dengan najis kelawar dan burung walit yang turut mendiami ruang gua,” jelas lebih lanjut Richie kepada penulis dan rakan yang lain.
“Keunikan lain ialah formasi batu kapur phytokarst yang hanya terbentuk apabila cahaya matahari menembusi ruang gua, menyerupai puncak tajam di Gunung Api sekali gus menambah pesona geologi yang menakjubkan,” katanya.
Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak, Richie berkata Gua Air Jernih turut menawarkan pakej “Clearwater River Revival” yang membawa mereka menyusuri sungai Gua Air Jernih sejauh dua kilometer, melibatkan aktiviti berjalan, berenang dan memanjat batu, kawasan yang biasanya diterokai penggiat aktiviti gua berpengalaman.
Lawatan ke sini biasanya sering digabungkan dengan Gua Angin, yang terletak tidak jauh. Jika Gua Air Jernih menawarkan air sebagai subjek utamanya, Gua Angin pula memperlihatkan hembusan angin semula jadi yang dapat dirasakan di ruang-ruang tertentu di dalam gua, dua elemen alam yang melengkapkan pengalaman menarik di Mulu.
Bagi penulis pengalaman di Gua Air Jernih bukan sekadar melihat keindahan geologi, tetapi sebuah ekosistem purba yang masih hidup, menunggu untuk terus diterokai oleh saintis dan dinikmati oleh pelancong dari seluruh dunia. — Bernama