
KUCHING: Sarawak menekankan kepentingan melahirkan generasi baharu saintis, jurutera dan usahawan dalam usaha menyokong agenda ekonomi hijau serta pembangunan mobiliti lestari seiring dengan perkembangan global yang memerlukan kepakaran rentas sempadan.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, dunia pada masa kini tidak lagi boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antarabangsa untuk menangani cabaran alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon.
“Seperti yang kita tahu, dasar Sarawak adalah menuju ke arah hijau iaitu ekonomi hijau, alam sekitar hijau dan untuk mencapainya, kita memerlukan kepakaran yang boleh mewujudkan persekitaran bersih dengan pelepasan yang hampir sifar.
“Penganjuran Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau 2025 itu menghimpunkan pakar-pakar serta pemain industri dalam bidang mobiliti hijau bagi berkongsi teknologi, pengalaman dan amalan terbaik dari negara masing-masing.
“Acara ini turut disertai peserta dari Filipina, Indonesia, Brunei, Singapura, United Kingdom, Australia dan China,” katanya ketika ditemui media pada Sidang Kemuncak Inovasi Mobiliti Hijau 2025, di Hotel Imperial, hari ini.
Kerajaan Sarawak menawarkan 64 kursus sains di bawah skim pendidikan tinggi percuma bagi melahirkan lebih ramai graduan penyelidikan, teknologi dan kejuruteraan untuk menyokong pembangunan negeri dalam jangka panjang.
“Bagaimanapun, jumlah saintis dan jurutera yang akan dihasilkan menjelang 2030 masih belum dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada kapasiti universiti serta permintaan industri.
“Setakat ini kita belum ada angka tepat. Ia bergantung kepada jumlah kemasukan pelajar di universiti dan keupayaan mereka menampung kursus teknikal.
“Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil 500 atau 1,000 pelajar tanpa menilai kemampuan industri menampung mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kombinasi kepakaran daripada pelbagai bidang tersebut sangat penting untuk mencipta teknologi inovatif, termasuk dalam sektor kesihatan yang kini semakin bergantung kepada robotik dan automasi.
“Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan tinjauan sumber manusia untuk mendapatkan data lebih tepat mengenai keperluan tenaga kerja industri, terutama dalam sektor berkaitan tenaga dan teknologi hijau.
“Tidak semua industri mendedahkan jumlah sebenar tenaga kerja yang mereka perlukan. Ada yang menganggapnya rahsia syarikat.
“Sebab itu kita hanya boleh membuat unjuran berdasarkan maklumat yang ada, khususnya bagi projek-projek kerajaan seperti pembangunan gas dan tenaga di Bintulu. Manakala projek industri swasta, kilang masih dalam pembinaan dan belum lagi beroperasi,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha membina bakat saintis, jurutera dan usahawan itu adalah pelaburan jangka panjang Sarawak untuk memastikan negeri terus relevan dan berdaya saing di peringkat global dalam bidang ekonomi hijau serta mobiliti lestari.
Oleh Masrin Affirah