Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • RUU Perolehan Kerajaan 2025 perkukuh integriti, hormati autonomi Sarawak dan Sabah
  • NASIONAL

RUU Perolehan Kerajaan 2025 perkukuh integriti, hormati autonomi Sarawak dan Sabah

Utusan Sarawak 1 day ago
SENATOR Dato’ Ahmad Ibrahim ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Negara hari ini.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh integriti kewangan negara selain memastikan autonomi Sarawak dan Sabah terus dihormati dalam pelaksanaan projek pembangunan.

Menurut Senator Dato’ Ahmad Ibrahim, kelemahan sistem perolehan sedia ada sering dikaitkan dengan kelewatan projek, peningkatan kos dan ketirisan. 

“Kajian Institut Integriti Malaysia pada 2023 menunjukkan hampir 35 peratus aduan integriti melibatkan manipulasi tender, pakatan harga serta penguasaan oleh kelompok tertentu.

“Kontrak mestilah berasaskan merit dan bebas daripada campur tangan politik. Projek bukan sekadar siap, tetapi perlu berkualiti serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul berkenaan di Dewan Negara hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa undang-undang baharu ini tidak boleh menjejaskan hak negeri sebagaimana dijamin Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk kuasa negeri terhadap tanah, kerajaan tempatan dan kontrak projek negeri.

Katanya, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk pertindihan bidang kuasa antara kontrak Persekutuan dan negeri, kelewatan pembayaran balik projek Persekutuan yang menggunakan dana negeri, serta peluang kontraktor kecil dan sederhana di Sarawak dan Sabah yang sering terpinggir.

“RUU ini mesti digubal dengan semangat kerjasama, bukannya penyeragaman paksa. Ia perlu mempunyai klausa pengiktirafan autonomi negeri, kuota kontraktor tempatan dan mekanisme pembayaran balik projek dengan semakan berkala,” ujarnya.

Tambah beliau, platform digital perolehan yang lebih telus juga perlu diwujudkan bagi memberi akses setara kepada kontraktor negeri.

“Undang-undang ini mesti mengubah sistem daripada perolehan berasaskan hubungan kepada perolehan berasaskan merit, integriti dan keberhasilan,” katanya.

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Polis siasat kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu
Next: Dato Wee kongsi kejayaan Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi UNESCO

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.