
Wirtz menyempurnakan sepakan percuma. Foto AFP
COLOGNE, Jerman: Tendangan bebas menakjubkan menerusi Florian Wirtz membantu Jerman mengatasi prestasi hambar untuk menewaskan Ireland Utara 3-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia di Cologne, awal pagi tadi.
Jerman tampil pada perlawanan itu penuh tekanan selepas kekalahan mengejut 0-2 kepada Slovakia pada aksi pembukaan Khamis lalu, dengan jurulatih Julian Nagelsmann melakukan lima pertukaran dalam kesebelasan utamanya.
Serge Gnabry membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ketujuh, namun Jerman terikat pada pertengahan babak pertama apabila Isaac Price menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut.
Jerman kurang kepantasan, kelancaran dan idea pada babak pertama, meninggalkan padang diiringi sorakan negatif dan siulan penyokong.
Nagelsmann segera mendapat ganjaran selepas memasukkan Maximilian Beier dan Nadiem Amiri yang lebih bertenaga pada awal babak kedua.
Gandingan mereka membuahkan gol kedua Jerman apabila larian Beier menyambut hantaran jauh David Raum mengelirukan penjaga gol Ireland Utara, Bailey Peacock-Farrell sebelum Amiri menyudahkan peluang.

Tiga minit kemudian, Wirtz menyempurnakan sepakan percuma selepas Amiri dijatuhkan dengan rembatan sempurna yang melepasi benteng dan singgah di palang sebelum masuk.
“Kami tahu perlawanan sebelum ini adalah satu bencana dan kami mahu lakukan dengan lebih baik,” kata Wirtz kepada rangkaian RTL Jerman.
“Ia satu persembahan baik yang boleh kami jadikan asas untuk terus berkembang,” katanya.
Nagelsmann berkata beliau “memahami” reaksi penyokong pada separuh masa, sambil menegaskan: “Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih baik dan harga tiket bukannya murah.”
Kemenangan hambar itu dijangka tidak banyak meredakan pengkritik Jerman, khususnya kerana ia hadir menentang pasukan yang hanya menurunkan empat pemain daripada kelab utama Eropah dalam kesebelasan mereka.
Gol Wirtz membantu menamatkan tiga kekalahan berturut-turut Jerman, sekali gus meredakan kebimbangan awal mereka boleh terlepas kelayakan Piala Dunia buat kali pertama sejak tidak dibenarkan menyertainya pada 1950. – AFP