BEIJING: Paras air di Empangan Three Gorges dijangka mencapai aras tertinggi sejak dibina pada 2003, susulan hujan lebat berterusan.
Lebih 100,000 penduduk dipindahkan dari kawasan di hulu Sungai Yangtze, apabila Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berusia 1,200 tahun itu diancam banjir.
Petugas kecemasan, polis dan sukarelawan menggunakan beg pasir sebagai penghadang bagi melindungi patung Buddha Gergasi Leshan, setinggi 71 meter, yang juga tapak Warisan Dunia UNESCO di barat daya wilayah Sichuan.
Agensi berita rasmi CCTV melaporkan, air berlumpur mula mencecah jari kaki patung itu buat pertama kali sejak 1949.
Sichuan, yang terletak di sepanjang Sungai Yangtze, menaikkan tahap amaran kepada kategori maksimum semalam bagi berdepan dengan pusingan baharu hujan lebat.
Badan kerajaan memantau sungai itu, Suruhanjaya Sumber Air Yangtze, mengeluarkan amaran peringkat merah lewat semalam, berikutan jangkaan air di beberapa stesen pemantau melepasi paras perlindungan setinggi lebih lima meter.
Empangan Three Gorges iaitu kemudahan hidroelektrik berskala besar yang dibina bagi mengawal aliran Sungai Yangtze, dijangka menerima aliran air 74,000 meter padu sesaat hari ini, jumlah tertinggi sejak ia dibina.
Projek itu mengehadkan kadar aliran air dengan menyimpannya dalam takungan sekurang-kurangnya 10 meter daripada paras amaran rasmi selama lebih sebulan.
Menurut Kementerian Sumber Air, infrastruktur itu terpaksa menambah pengeluaran kadar air kelmarin bagi mengurangkan tekanan kawalan banjiri. – AFP