
KUCHING: Sorakan gemuruh bergema di dewan City Rise Hotel, Miri semalam apabila anak kelahiran Bau, Brandon Baki akhirnya mengangkat trofi keramat Kejohanan Bina Badan Peringkat Negeri Ke-59, Mr Sarawak 2025, sekali gus menoktahkan penantian panjangnya selama 12 tahun dalam arena penuh disiplin ini.
Dengan tubuh sasa yang dipahat hasil empat bulan latihan tanpa culas serta diet ketat, Brandon tampil penuh yakin di pentas, namun di sebalik kilauan lampu sorot, tersimpan kisah pengorbanan besar seorang lelaki, suami dan bapa.
“Saya terharu dan gembira, kerana sudah berhempas pulas berlatih serta mengikut diet ketat selama empat bulan. Cabaran terbesar ialah bajet yang sangat terhad kerana saya tidak mempunyai penaja, semua perbelanjaan ditanggung oleh saya sendiri,” katanya ketika ditemu bual wartawan Utusan Sarawak, Shikin Mahmud.
Brandon tidak pernah alpa terhadap disiplin
Setiap hari beliau berlatih tanpa gagal, mengikut bimbingan jurulatihnya Faizal dan Al Badrul.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jurulatih Faizal dan Al Badrul yang sentiasa meniup semangat dan mengingatkan beliau agar kekal berdisiplin, selain isterinya yang menjadi sumber kekuatan di saat getir.
Malah, isterinya yang setia menjadi tiang kekuatan rumah tangga, bukan sahaja memberi kata semangat saat beliau hampir berputus asa, malah sanggup menguruskan anak-anak tatkala dirinya sibuk berlatih.
Menurut Brandon, cabaran paling besar bukanlah sekadar menahan lapar atau sakit otot, tetapi menguruskan bajet yang sangat terhad.
“Semua perbelanjaan ditanggung sendiri tanpa penaja. Walaupun begitu, saya tetap berlatih setiap hari tanpa culas, dan sentiasa bertanya kepada jurulatih mengenai pemakanan yang sesuai kerana rutin diet berubah mengikut baki hari sebelum pertandingan,” jelasnya.
“Walaupun keluar makan bersama keluarga atau kawan-kawan, saya tetap membawa bekal. Itu pengorbanan besar, tetapi hasilnya amat bermakna. Diet yang ketat inilah kunci kejayaan saya,” jelasnya.
Detik paling mendebarkan, katanya, ialah ketika namanya tidak dipanggil untuk perbandingan kali kedua di pentas.
“Dalam hati saya mula risau, rupa-rupanya juri hanya membuat perbandingan untuk naib johan. Saya hampir hilang fokus. Malah ada juga detik lucu, saya terlupa gaya yang diajar jurulatih dan tercari-cari di atas pentas, dalam hati saya hanya berdoa semoga jurulatih tidak marah!” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi Brandon, kejayaan ini bukan sahaja miliknya tetapi milik semua insan yang berdiri di belakangnya.
“Ini impian sejak mula berjinak-jinak 12 tahun lalu. Kejayaan ini juga diharap membakar semangat anak muda lain untuk menceburi bidang ini, dari sekadar hobi boleh pergi sejauh peringkat kebangsaan,” katanya.
Brandon kini bakal menggalas cabaran lebih besar mewakili Sarawak ke Kejohanan Mr Malaysia
Kini, beliau bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar. “Kejayaan ini batu loncatan untuk saya. Saya dipilih mewakili Sarawak ke Kejohanan Mr Malaysia. Disiplin adalah asas. Jika kita berdisiplin, hasilnya pasti berlipat kali ganda,” tegasnya yang menjadikan Al Badrul dan Mohd Faizal sebagai idola tempatan, serta Jeremy Buendia sebagai idola antarabangsa.

Firdaus: Naib Johan dengan semangat besi
Sementara itu, naib juara milik anggota keselamatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohamad Firdaus Mohamad Sazali yang tampil dengan persembahan bertenaga meskipun terpaksa berkorban besar dari segi kewangan dan fizikal.
“Gaji saya habis awal bulan kerana menampung persiapan. Syukur ada kawan-kawan yang sudi membantu. Latihan harian saya buat sehabis mampu, pemakanan pula sentiasa dijaga. Ini kepuasan diri dan pengorbanan tidak sia-sia,” katanya.
Firdaus yang turut bernaung di bawah bimbingan jurulatih Al Badrul dan Mohd Faizal berkata, kejayaan podium ini menjadi bukti bahawa disiplin mampu mengubah diri.
“Saya yakin setiap individu ada kelebihan masing-masing. Saya percaya dengan kelebihan saya dan akan lakukan lebih baik jika diberi peluang ke Mr Malaysia,” jelasnya.
“Kena sedia dari segi mental dan fizikal. Sukan ini bukan sahaja membentuk tubuh, malah mendidik disiplin dan mengawal emosi,” ujarnya yang mengakui detik paling sukar ialah berpuasa demi mengekalkan berat badan untuk bertanding.
Pentas harapan Sarawak
Kejohanan Mr Sarawak kali ini bukan sekadar menobatkan juara dan naib johan. Ia adalah pentas yang membuktikan Sarawak kaya dengan bakat muda yang kental semangat, tabah jiwa, dan penuh disiplin.
Brandon dengan gelaran juara, Firdaus dengan semangat naib johan, kedua-duanya adalah wajah yang bakal mengangkat nama negeri ini di pentas kebangsaan, malah antarabangsa.
Semalam, di City Rise Hotel, bukan sekadar tubuh berotot yang terpamer, tetapi juga kisah perjuangan, pengorbanan, dan harapan untuk masa depan sukan bina badan Sarawak.
Kejohanan Mr Sarawak edisi ke-59 ini sekali lagi mengangkat martabat sukan bina badan negeri, membuktikan bahawa Sarawak mempunyai barisan atlet berpotensi besar untuk bersaing di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.
Oleh Shikin Mahmud