KUALA LUMPUR: Corak pemilikan rumah sedang mengalami perubahan susulan impak pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), termasuk bagi memenuhi keperluan pencari rumah golongan muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Far Capital, Faizul Ridzuan berkata, pemilikan hartanah pada masa ini adalah lebih mudah berbanding sebelum ini.
Beliau berkata, berlandaskan celik dan ketekunan kewangan yang kukuh, pertambahan pelbagai pilihan hartanah serta kaedah dan sumber maklumat yang tersedia menjadikan pemilikan rumah bukanlah sesuatu yang mustahil dalam norma baharu.
Tidak dinafikan kini merupakan tempoh mencabar bagi pencari rumah dan negara secara amnya, namun pembeli rumah pertama dan penyewa boleh memanfaatkan aliran — harga hartanah lebih murah, kadar faedah lebih rendah dan tanggungjawab kehidupan bersama — dalam norma baharu, katanya.
“Harga mungkin turun dalam jangka pendek dan meningkat pada jangka panjang. Inilah sebenarnya senario ideal untuk pembeli. Ia bermaksud mereka boleh memilik hartanah lebih murah kerana pemaju melaraskan harga pasca-PKP, tanpa perlu melepaskan kenaikan jangka panjang.
“Selain itu hartanah menjadi lebih murah kerana pemaju membina hartanah lebih kecil. Ini bermakna walaupun jika harga meningkat, contohnya daripada RM600 kepada RM800 setiap kaki persegi, pembeli muda boleh memilih untuk bermula dengan rumah jenis studio 450 kaki persegi berbanding unit keluarga 800 kaki persegi, pada harga permulaan RM360,000 berbanding RM640,000,” katanya dalam kenyataan semalam.
Faizul berkata, langkah ini bukan hanya sesuai untuk pencari muda yang cenderung mengutamakan lokasi dan gaya hidup daripada keluasan persegi malah pemaju dapat memaksimumkan kawasan kecil yang tersedia berhampiran pusat bandar.
“Kempen Pemilikan Rumah yang diadakan semula telah memberi tekanan ke atas harga. Ini bukan hanya melibatkan projek yang menyertai kempen itu dengan potongan 10 peratus malah penawaran lain di pasaran yang bersaing dengan mereka,” katanya.
Beliau juga berkata, di samping itu, bank pula kini mempunyai kedudukan mudah tunai yang belum pernah direkodkan sebelum ini dan menawarkan kadar faedah rendah dalam sejarah, berikutan semakan kadar dasar semalaman dan Keperluan Rizab Berkanun.
“Dengan kata lain, bank lebih mampu dan berminat untuk memberi pinjaman berbanding sebelum ini namun mereka masih menjalankan penelitian pematuhan. Penekanan di sini adalah kepada peminjam berkualiti. Bagi pencari muda, ini merupakan halangan utama,” katanya.
Faizul juga berkata, kehidupan bersama berjaya mempengaruhi pasaran domestik dengan projek-projek semasa menumpukan konsep ‘perkakasan’ terutama dari segi kemudahan bersama seperti ruang kerja bersama.
Bagaimanapun, masalah sosial pula timbul daripada ‘perisian’ perkembangan semasa — faktor manusia, katanya.
“Oleh itu, kehidupan bersama seharusnya menekankan pembinaan interaksi sosial, dalam lingkungan garis panduan penjarakan fizikal.
“Ini termasuk penganjuran aktiviti bagi penduduk yang ingin menyertai, dilengkapi dengan perlindungan kesihatan sewajarnya, bertujuan meningkatkan keterangkuman sosial melalui kepentingan bersama, seperti yang diamalkan dalam komuniti seperti Youtopia di Petaling Jaya,” katanya.
Far Capital merupakan firma perundingan dalam pengkhususan membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan mereka menerusi pelaburan hartanah secara berhemat. – Bernama