
MIRI: Kegiatan sekumpulan lelaki tempatan yang dipercayai aktif melakukan pecah rumah di sekitar bandar ini terbongkar selepas polis menahan lima suspek dalam satu serbuan pada 4 September lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata tangkapan itu dibuat hasil siasatan selepas sepasang suami isteri mendapati kediaman mereka di Jalan Abelia, Luak Bay, dipecah masuk sekitar 12.40 tengah hari pada hari kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai barangan berharga milik mangsa telah hilang, antaranya 17 unit jam tangan pelbagai jenama, dua utas rantai emas, tujuh gelang emas, tiga cincin emas, tiga telefon bimbit, dua komputer riba, beberapa botol minyak wangi, dokumen peribadi serta wang tunai RM30,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan sekitar RM80,000.
Mohd Farhan berkata, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 32 hingga 42 tahun, dan empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kecurian, pecah rumah dan penyalahgunaan dadah.
“Polis turut merampas sebahagian barangan curi hasil tangkapan, dan usaha mengesan baki barangan lain masih diteruskan,” katanya.
Beliau menambah, penahanan suspek turut membantu menyelesaikan tiga lagi kes pecah rumah yang dilaporkan berlaku di sekitar Miri tahun ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Ujian saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek juga mendapati mereka positif methamphetamine, dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Mohd Farhan turut menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial dan sentiasa berwaspada terhadap keselamatan rumah masing-masing.
“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Dayang Hamidah di talian 013-8032715 / 085-432533 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.