
Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul, sebelum menyampaikan ucapan selepas upacara pengiktirafan diraja, di ibu pejabat Parti Bhumjaithai di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
BANGKOK: Hartawan terkenal Thailand, Anutin Charnvirakul, secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri hari ini, sekali gus menyingkirkan dinasti politik utama negara itu.
Beliau juga menjamin akan membuka laluan kepada pilihan raya awal tahun depan supaya kerajaan yang dibentuk mendapat mandat majoriti rakyat.
Sejak Pilihan Raya Umum 2023, jawatan tertinggi Thailand dikuasai oleh Parti Pheu Thai yang diterajui oleh dinasti Shinawatra iaitu satu kuasa populis yang sekian lama berkonflik dengan golongan pro-raja dan pro-tentera.
Namun, pewaris dinasti itu, Paetongtarn Shinawatra, dilucutkan jawatan bulan lalu melalui perintah mahkamah.
Ini mendorong Anutin membentuk kerajaan campuran baharu dan berjaya meraih sokongan majoriti dalam undian Parlimen pada Jumaat, sekali gus menyingkirkan Pheu Thai daripada tampuk kuasa.
Beliau semalam menamakan seorang diplomat berpengalaman, bekas ketua Jabatan Hasil Dalam Negeri dan seorang eksekutif kanan minyak serta gas untuk menerajui kementerian luar, kewangan dan tenaga negara itu.
Kata Anutin, diplomat, Sihasak Phuangketkeow; pakar ekonomi, Ekniti Nitithanprapas dan eksekutif gergasi tenaga PTT, Auttapol Rerkpiboon, adalah tokoh kanan dalam pertubuhan yang bakal mereka ketuai.
Ekniti ialah pegawai kanan di Kementerian Kewangan yang pernah disebut sebagai calon gabenor bank pusat, manakala Auttapol mengetuai syarikat terbesar negara itu, firma tenaga milik kerajaan, Kumpulan PTT.
Perkhidmatan luar Thailand bakal menyaksikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian, Sihasak, kembali sebagai menteri.
Lantikan itu dibuat ketika gencatan senjata rapuh dengan negara jiran, Kemboja, masih bertahan selepas pertembungan sempadan bertukar menjadi konflik lima hari yang meragut sekurang-kurangnya 43 nyawa pada Julai lalu.
Anutin sendiri sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan, namun beliau lebih dikenali sebagai perancang utama dasar membenarkan kanabis dikomersilkan di Thailand pada 2022.
Hartawan pembinaan itu menjadi pemimpin ketiga Thailand dalam tempoh dua tahun, namun dengan syarat daripada parti-parti gabungan supaya Parlimen dibubarkan dalam tempoh empat bulan untuk memberi laluan kepada pilihan raya baharu.
“Saya akan menjalankan tugas dengan penuh kejujuran dan integriti, selaras dengan kepercayaan Raja, demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Anutin sejurus selepas mengangkat sumpah.
Pelantikan beliau disahkan secara rasmi selepas mendapat perkenan Raja Maha Vajiralongkorn yang dibacakan dalam satu majlis rasmi di ibu pejabat Parti Bhumjaithai di Bangkok.
“Raja memperkenankan pelantikan Anutin Charnvirakul sebagai Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta,” menurut Setiausaha Agung Dewan Rendah Parlimen, Arpath Sukhanunth, ketika membacakan titah diraja itu.
Anutin sebelum ini pernah menjadi sekutu rapat keluarga Shinawatra, namun pengaruhnya semakin merosot akibat siri cabaran undang-undang dan politik.
Beliau menarik diri daripada pakatan dengan Parti Pheu Thai pada musim panas lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati terhadap tindakan Paetongtarn ketika menangani pertikaian sempadan dengan Kemboja.
Bapa Paetongtarn, Thaksin Shinawatra, yang juga pengasas dinasti itu, dilaporkan meninggalkan Thailand beberapa jam sebelum undian Parlimen mengesahkan pelantikan Anutin, menuju ke Dubai atas alasan untuk bertemu rakan dan mendapatkan rawatan perubatan.
Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan Selasa ini berhubung kes berkaitan penginapan Thaksin di hospital selepas beliau kembali dari buangan pada Ogos 2023, yang berpotensi menjejaskan kesahihan pembebasan awalnya dari penjara.
Walaupun kes itu tidak menyentuh soal kesalahan Thaksin, beberapa penganalisis menjangkakan keputusan itu boleh membawa kepada beliau dipenjarakan semula.
Dalam satu kenyataan di media sosial, Thaksin berikrar akan kembali dari Dubai untuk hadir ke mahkamah secara fizikal, manakala Anutin pula menegaskan pentadbirannya akan bertindak tanpa pilih kasih, penganiayaan dan dendam. – AFP