
TANJUNG MANIS: Prevalens diabetes di Sarawak dianggarkan sekitar 18 hingga 19 peratus, hampir menyamai purata kebangsaan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata masalah ini bukan sekadar gula dalam darah yang tinggi, tetapi komplikasinya iaitu kegagalan buah pinggang, buta, pemotongan anggota dan strok.
“Masalah ini menjejaskan bukan sahaja pesakit, malah seluruh keluarga.
“Hipertensi atau tekanan darah tinggi juga satu lagi masalah serius. Sekitar 30 peratus orang dewasa di Malaysia menghidap hipertensi, menjadikannya cabaran kesihatan awam yang besar.
“Lebih membimbangkan, Sarawak mencatatkan salah satu kadar tertinggi di Malaysia dengan 40.9 peratus,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Program Perpaduan Dalam Kesihatan: Memperkasakan Komuniti di Kampung Belawai, hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Universiti SEGi dengan kerjasama Saberkas Cawangan Rajang.
Katanya, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) tersebut merupakan salah satu cabaran besar di ngeara ini.
“Penyakit ini berkembang secara perlahan, sering tanpa disedari, tetapi kesannya amat membimbangkan.
“Dianggarkan 3.9 juta orang dewasa di Malaysia atau 18.3 peratus daripada populasi dewasa, menghidap diabetes.
“Ini bermakna satu daripada enam rakyat Malaysia menghidap penyakit kronik ini,” katanya.
Tambahnya, unjuran kebangsaan memberi amaran bahawa menjelang 2025, seramai tujuh juta orang dewasa Malaysia mungkin menghidap diabetes.
“Ramai antara mereka tidak menyedari keadaan ini kerana tidak pernah disaring.
“Malah, dalam kalangan yang didiagnosis sekalipun, hanya sebahagian yang berjaya mengawal tekanan darah mereka.
“Inilah sebabnya mengapa program seperti ini sangat penting. Dengan pendidikan kesihatan, langkah pencegahan dan pengesanan awal, kita dapat melindungi keluarga kita serta mengurangkan beban penyakit,” katanya lagi.
Turut hadir, Naib Dekan Fakulti Perubatan, Kejururawatan dan Sains Kesihatan Universiti SEGi, Profesor Dr. Raili Suhaili dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah.
Oleh Earl Anek