Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • ‘Ummah Maju Makmur’ cerminan aspirasi Sarawak – Tun Wan Junaidi
  • TEMPATAN

‘Ummah Maju Makmur’ cerminan aspirasi Sarawak – Tun Wan Junaidi

Utusan Sarawak 3 days ago
HADIR…. Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan pemimpin negeri dan tetamu kehormat, hadir pada majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1447 Hijrah di Padang Merdeka, pagi ini.

KUCHING: Umat Islam di Sarawak digesa meneladani Rasulullah SAW dalam usaha membina negeri yang maju, makmur dan sejahtera berteraskan nilai akhlak dan ilmu pengetahuan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tema sambutan tahun ini, ‘Ummah Maju Makmur’, amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi fizikal dan ekonomi, tetapi turut seimbang dari segi rohani, ilmu dan nilai moral.

Menurutnya, Rasulullah SAW merupakan rahmat bagi sekalian alam dan contoh kepimpinan berintegriti. Justeru, umat Islam digesa meneladani sifat-sifat Baginda dalam kehidupan seharian, termasuk dalam aspek pentadbiran dan pembangunan negeri.

PERARAKAN… Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama barisan pemimpin negeri dan tetamu kehormat, menyertai Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1447 Hijrah di Padang Merdeka, pagi ini.

“Maulidur Rasul bukan sekadar perayaan, tetapi menjadi titik tolak untuk memperbaharui tekad meneladani akhlak dan kepimpinan Rasulullah SAW serta membina Sarawak yang penuh kasih sayang berlandaskan sunah Baginda,” ujarnya ketika berucap pada majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1447 Hijrah di Padang Merdeka, di sini, pagi ini.

Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan berasaskan maqasid syariah, iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, selari dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menitikberatkan keseimbangan ekonomi, sosial, alam sekitar serta inklusiviti.

Beliau juga menegaskan bahawa pendidikan, ilmu dan pembinaan modal insan adalah teras utama kemajuan Sarawak.

Katanya, generasi muda perlu dibentuk bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi turut diperkasakan dengan nilai moral, akhlak serta budi pekerti yang luhur.

“Pendidikan tidak boleh hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi mesti merangkumi pembentukan akhlak kerana itulah asas kekuatan umat sejak zaman Rasulullah SAW,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepentingan mengekalkan keharmonian dan perpaduan antara kaum serta agama di Sarawak yang selama ini menjadi model kepada negeri lain.

“Sarawak dibangunkan atas semangat muafakat antara agama dan etnik. Pendekatan moderat, saling menghormati dan pemikiran terbuka telah menjadi asas perpaduan negeri ini,” katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan adaptasi pantas terhadap perkembangan teknologi digital dan pembangunan tenaga hijau agar Sarawak kekal berdaya saing di rantau ini.

Beliau menutup ucapan dengan menggesa rakyat Sarawak memperbaharui tekad dan semangat perubahan bersempena sambutan Maulidur Rasul, agar cita-cita ‘Ummah Maju Makmur, Sarawak Maju Makmur’ menjadi kenyataan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Golongan muda elak jadi ‘keldai dadah’
Next: Hospital pengajar UNIMAS dijangka siap November 2026 – Ahmad Maslan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.