
SIBU: Seramai 400 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Konvensyen Antarabangsa Seni Bela Diri, Tarian Naga dan Singa Borneo 2025 yang julung kali diadakan di sini, anjuran Persatuan Seni Bela Diri Sibu (Quan Shu).
Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng berkata, penganjuran konvensyen berkenaan mencatat sejarah tersendiri kerana ia merupakan kali pertama seumpamanya berlangsung di Sibu.
“Saya difahamkan bahawa ini merupakan konvensyen pertama seumpamanya diadakan di Sibu dan saya benar-benar berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang,” katanya ketika merasmikan pembukaan konvensyen itu di hotel terkemuka di sini, hari ini.
Beliau berkata, tarian naga, tarian singa dan seni bela diri bukan sekadar aktiviti fizikal, sebaliknya sebahagian daripada warisan budaya masyarakat Cina yang melambangkan ketabahan, keberanian, disiplin dan perpaduan.
Menurutnya, warisan tersebut kini turut diterima baik oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang terlibat secara aktif sekali gus mencerminkan keindahan budaya negara.
“Perkara ini amat menginspirasikan apabila melihat para mahaguru seni bela diri dan tarian singa bersama pasukan mereka dari seluruh rantau ini dan luar negara berkumpul di Sibu. Konvensyen ini bukan sahaja satu bentuk pertukaran seni tetapi juga jambatan warisan budaya dan persahabatan,” katanya.

Lau berkata, konvensyen berkenaan menjadi platform penting bagi kerjasama antarabangsa untuk saling bertukar ilmu, pengalaman dan kepakaran selain mengangkat budaya tradisional ke persada dunia.
Beliau turut menekankan peranan generasi muda dalam meneruskan kelestarian seni warisan tersebut, dengan nilai disiplin, ketabahan, rasa hormat dan kerja berpasukan yang boleh membentuk perwatakan serta jati diri mereka.
“Memartabatkan seni bela diri bukan sahaja soal meraih pingat, tetapi juga membina generasi baharu yang berdisiplin, berhemah dan bertanggungjawab,” katanya.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Seni Bela Diri Sibu (Quan Shu), Yung Dak Looh; Pengerusi Penganjur Konvensyen Antarabangsa Seni Bela Diri, Tarian Naga dan Singa Borneo 2025, Gilbert Wong; Timbalan Presiden Persekutuan Chen Style Tai Ji Quan Malaysia, Ho Mei Leng dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan daripada Business Events Sarawak, Anedia Kahar.
Oleh Tarani Lanting