
4 September di sebuah hotel di Sibu.
SIBU: Seramai 14 guru Bahasa Iban dari sekolah menengah seluruh Sarawak berjaya menamatkan Bengkel Kerja Pembinaan Modul Kenyalang Cemerlang (MKC) SPM 2025 Yayasan Sarawak yang berlangsung selama tiga hari, bermula 2 hingga 4 September.
Bengkel anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) itu memberi tumpuan kepada usaha membangunkan modul pembelajaran Bahasa Iban yang lebih komprehensif, selaras dengan keperluan sukatan pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Bengkel berkenaan menghimpunkan tenaga pengajar berpengalaman dan guru baharu, sekali gus membuka ruang perkongsian ilmu, idea serta kepakaran bagi memperkasakan pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan.
Penolong Pengarah Sektor Pembelajaran JPNS, Ricky Adon Chuat, turut hadir bagi menyuntik semangat kepada para peserta selain menyampaikan penghargaan atas komitmen ditunjukkan semua guru.
“Komitmen dan dedikasi anda semua adalah tonggak utama dalam menjayakan bengkel ini. Ia adalah cerminan semangat juang untuk memartabatkan Bahasa Iban,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPNS dan Yayasan Sarawak yang bukan sahaja menyediakan platform, malah sokongan sumber bagi menjayakan program berimpak besar itu.
Tambahnya, kerjasama erat semua pihak adalah kunci kejayaan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang.
Hasil daripada bengkel itu, sebuah modul rujukan Bahasa Iban SPM akan diterbitkan sebagai panduan utama guru dan pelajar di sekolah menengah yang menawarkan subjek tersebut.
Langkah itu diyakini mampu meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan SPM selain memastikan generasi muda terus menghargai dan menguasai bahasa warisan mereka.
Oleh Tarani Lanting