

SESI DIALOG… Dato Sri Fadillah Yusof ketika sesi dialog sempena Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui ASEAN (SAREF) 4.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
KUCHING: Malaysia komited mencapai sasaran 70 peratus tenaga negara dijana daripada sumber bersih dan boleh diperbaharui menjelang 2050, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, sasaran tersebut telah digariskan menerusi pelan hala tuju nasional termasuk dasar tenaga boleh diperbaharui (NETA) dan strategi perubahan iklim.
“Setakat ini, kita sudah mencapai 31 peratus. Menjelang 2040, sasaran kita ialah 45 peratus dan akhirnya 70 peratus menjelang 2050.
“Ini akan banyak disumbangkan oleh tenaga solar, namun cabaran besar adalah di Semenanjung Malaysia kerana bekalan tenaga asas tidak mencukupi, berbanding Sarawak yang kini memperoleh kira-kira 70 peratus bekalan daripada hidro selain turut melabur dalam solar dan tenaga bersih lain,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata demikian pada sesi dialog sempena Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui ASEAN (SAREF) 4.0) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Menurutnya, kekangan tenaga di Semenanjung Malaysia membuka ruang kepada kerajaan untuk menilai kemungkinan memasukkan tenaga nuklear dalam campuran tenaga negara pada masa hadapan.
“Tenaga nuklear kini turut dibincangkan di peringkat Asia Pasifik (APAC) sebagai sebahagian daripada sumber tenaga baharu. Malaysia juga sedang meneliti potensi itu dengan serius, tanpa menjejaskan aspek keselamatan, sekuriti dan juga penerimaan awam.
“Jika semua faktor ini dipenuhi, nuklear akan dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada campuran tenaga masa depan negara,” jelasnya.
Beliau optimis dengan gabungan tenaga boleh diperbaharui dan tenaga nuklear, Malaysia mampu mencapai sasaran 70 peratus bekalan tenaga bersih menjelang 2050.
Oleh Shahrul Qaizat