

JOONG Ki tidak pernah menghalang isterinya Katy Louise Saunder keluar bersama rakan lelaki.
SEOUL: Pelakon terkenal Korea Selatan, Song Joong Ki, baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai isu pasangan bertemu rakan berlainan jantina, terutamanya pada waktu malam.
Menurut Song, beliau tidak mempunyai masalah jika isterinya ingin berjumpa dengan rakan lelaki, namun menetapkan syarat bahawa pertemuan itu tidak seharusnya berlaku selepas 10.00 malam.
Beliau membuat kenyataan tersebut ketika muncul sebagai tetamu dalam rancangan YouTube “Weekend Yeonseokdrama segment Yoo Bar Lee Talk Bar” yang dikendalikan oleh pelakon Yoo Yeon Seok.
Turut hadir dalam episod itu ialah Chun Woo Hee, gandingannya dalam drama terbaharu berjudul My Youth.
Dalam sesi perbincangan itu, Chun Woo Hee menyentuh topik hubungan dengan rakan berlainan jantina. Beliau berkata: “Jika rakan perempuan teman lelaki saya mahu berjumpa kerana menghadapi masalah, saya tak faham kenapa dia perlu cari teman lelaki saya. Dia boleh selesaikan sendiri atau sekarang ni, tanya sahaja ChatGPT.”
Kenyataan itu mengundang gelak tawa penonton di studio.
Sementara itu, Yoo Yeon Seok pula berpendapat bahawa: “Kalau seseorang memang nak timbulkan masalah, dia tetap akan buat. Jika pertemuan itu telah dirancang, saya cuma akan kata ‘selamat berseronok’, tapi saya harap dia terus berhubung dengan saya.”
Song Joong Ki kemudian menyatakan pendapatnya pula: “Saya sendiri pun tak terlalu kisah,” katanya, menunjukkan sikap terbuka terhadap isu tersebut.
Namun, apabila ditanya sama ada beliau setuju jika isterinya keluar berjumpa rakan lelaki secara bersendirian pada 10.00 malam, Song dan Yoo Yeon Seok segera menjawab serentak: “Tiada sebab untuk berjumpa pada waktu begitu. Itu waktu untuk tidur atau menonton drama kami My Youth,” ujar mereka sambil ketawa, menghiburkan penonton.
Untuk rekod, Song Joong Ki telah mendirikan rumah tangga dengan pelakon British, Katy Louise Saunders, pada tahun lalu. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata — seorang lelaki dan seorang perempuan.
Drama My Youth, lakonan Song Joong Ki dan Chun Woo Hee, bakal memulakan tayangan perdana di saluran JTBC esok. – Agensi