Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Serangan berterusan terhadap Petros
  • KOLUMNIS

Serangan berterusan terhadap Petros

Utusan Sarawak 2 days ago

AUDIO siar bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim terhadap Sarawak mengenai isu petroleum baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi serta kecaman dari Bumi Kenyalang.

Tetapi ia bukan kali pertama, kerana ‘onak berduri’ yang kedua-dua peguam ini lemparkan kepada Sarawak pernah berlaku secara berasingan pada Januari 2023 dan Jun 2024, kebanyakannya terpesong daripada sejarah dan fakta sebenar.

Tetapi kali ini mereka bergandingan dalam audio siar episod ‘The Zaid Ibrahim Podcast’ membincangkan isu perebutan kuasa minyak dan gas antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros). Audio siar ini turut disiarkan melalui portal berita dwi bahasa Free Malaysia Today (FMT).

Mereka mengupas tentang Akta Pembangunan Petroleum 1974, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan bagaimana kedudukan politik Kerajaan Madani yang rapuh memberi kelebihan kepada tuntutan Sarawak. Adakah Kerajaan Persekutuan bersikap seperti ‘penjajah’ dan apakah penyelesaian yang adil untuk semua pihak demi kestabilan negara?

AUDIO siar episod ‘The Zaid Ibrahim Podcast’ baru-baru ini membincangkan isu Petronas, Petros.

Itu bunyi skrip pembuka kata podcast bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi portfolio undang-undang itu yang juga bekas ahli PKR manakala Hassan adalah Ahli Parlimen mewakili PKR.

Banyak ulasan dan perdebatan berkisar kepada isu ini. Malah FB milik Zaid dan portal FMT dipenuhi dengan komen warganet terutama dari Sarawak dan Sabah, kebanyakannya menyokong pendirian kerajaan Sarawak.

Sejak kebelakangan ini, FMT banyak menyiarkan isu berkaitan Petronas dan Petros. Apakah ada motif tertentu secara tersirat, menyerang Sarawak @ Petros menggunakan portal itu, bukan guna media arus perdana lain?

Apakah kerana pemegang saham FMT, orang yang sama menguasai saham dalam Media Prima yang memiliki TV3, Berita Harian, Harian Metro dan NST?

Semalam pun, FMT menyiarkan ulasan penganalisis bertajuk ‘Dakwaan Petronas simpan 95 peratus hasil minyak, gas Sarawak mengelirukan’ dan turut disiar semula melalui Berita Harian.

“BERDASARKAN angka sehingga akhir 2023, nilai petroleum yang diambil dari Sarawak oleh Petronas adalah kira-kira RM850 bilion,” – Dato Sri J C Fong, Penasihat undang-undang negeri Sarawak.

Ia sebagai mengulas kenyataan bekas Peguam Besar Sarawak, Dato Sri J C Fong, yang dilaporkan berkata bahawa Petronas menyimpan 95 peratus hasil minyak dan gas O&G Sarawak sepanjang 50 tahun lalu, dengan negeri Borneo hanya menerima RM49 bilion dalam tempoh tersebut.

PETRONAS RAIH RM3 TRILION DARI SARAWAK

Ia memetik seorang penganalisis industri, Jamil Ghani sebagai berkata dakwaan itu mengelirukan kerana ia mengetepikan aliran kewangan penting yang kembali ke Sarawak.

Beliau berkata di bawah kontrak perkongsian pengeluaran Malaysia, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada hasil projek digunakan untuk pemulihan kos, manakala 10 peratus dikongsi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri sebagai royalti minyak.

Jamil dilaporkan berkata, Sarawak sememangnya menerima RM49 bilion dalam bentuk royalti minyak, RM28.6 bilion dalam dividen daripada projek Petronas dan RM18.66 bilion dalam cukai jualan negeri sejak bermulanya industri O&G Malaysia.

Semalam dalam kenyataan balasnya, JC Fong berkata Petronas meraih hampir RM3 trilion daripada sumber minyak dan gas Sarawak sehingga 2023.

Penasihat undang-undang negeri Sarawak itu berkata, berdasarkan angka sehingga akhir 2023, nilai petroleum yang diambil dari Sarawak oleh Petronas adalah kira-kira RM850 bilion.

“Ini hanya melibatkan petroleum peringkat huluan dan tidak termasuk jualan gas asli cecair (LNG) yang diproses daripada gas asli dihasilkan di Sarawak.

“Dari tahun 1975 hingga 2024, jumlah royalti petroleum lima peratus yang diterima negeri hanyalah sekitar RM49 bilion.

“Baki 95 peratus diterima oleh Petronas dan Kerajaan Persekutuan. Selain itu, Petronas perlu mengiktiraf dan menghormati Petros sebagai satu-satunya pengagregat gas kerana Petronas tidak pernah dilantik sebagai pengagregat gas di bawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) atau Ordinan Pengagihan Gas (DGO).

“DGO 2016 memberi kuasa eksklusif kepada Sarawak untuk melesenkan dan mengawal selia agihan gas domestik,” – Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim.

“Dengan mengambil semula kawasan ke atas pengedaran gas di Sarawak, kerajaan negeri mahu memastikan gas yang dihasilkan di negeri ini memberi manfaat kepada rakyatnya tanpa mengira kaum atau latar belakang.

“Kini, di bawah kuasa eksekutif kerajaan negeri terhadap pengedaran gas, Petros telah membekalkan gas percuma untuk kegunaan domestik kepada kumpulan B40 di Sungai Plen, Bintulu dan Taman Ceria, Permyjaya, Miri.

“Ini adalah permulaan kepada rancangan kerajaan negeri untuk memperluaskan manfaat ini ke kawasan lain di seluruh Sarawak,” katanya.

PDA TAK BOLEH ATASI OMO 1958, DGO 2016,

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negara Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata isu hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gas negeri adalah berasaskan sejarah, MA63 dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

Katanya, Sarawak menjadi pengeluar minyak dan gas negara sejak penemuan minyak di Miri pada 1910, 53 tahun sebelum Malaysia wujud.

“Sarawak memiliki asas perlembagaan, sejarah dan undang-undang tersendiri yang tidak boleh dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata tanggapan bahawa Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 memberi ‘lesen kekebalan’ kepada pihak tertentu dan industri ini berkembang di bawah undang-undang Sarawak sendiri sudah lama sebelum PDA 1974 digubal.

Katanya, Seksyen 73 Akta Malaysia 1963 mengekalkan semua undang-undang negeri yang wujud sebelum (penubuhan) Malaysia, termasuk OMO 1958 yang masih sah berkuat kuasa sehingga kini.

Pada 2018, OMO 1958 dipinda yang memberi kuasa penuh kepada Sarawak untuk mengawal selia pelesenan minyak dan gas di darat dan pelantar benua Sarawak.

“PDA 1974 terpakai sepenuhnya di negeri-negeri lain yang tidak mempunyai undang-undang seperti OMO 1958. Di negeri-negeri tersebut, Petronas adalah pengagregat tunggal minyak dan gas.

“Di Sarawak, PDA tidak boleh mengatasi OMO 1958, Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016, Kanun Tanah Sarawak atau Cukai Jualan Negeri.

“DGO 2016 memberi kuasa eksklusif kepada Sarawak untuk melesenkan dan mengawal selia agihan gas domestik.

“Malah, Petros telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pengagregat tunggal gas Sarawak bagi pasaran domestik (tidak termasuk LNG),” katanya.

SEBAB POLITIK ATAU LUPA SEJARAH

Sementara itu, Hassan, Ahli Parlimen Pasir Gudang dua penggal menambah bahawa kedudukan Kerajaan Persekutuan sekarang tidak kukuh berbanding pentadbiran lalu.

“Mendukung kerajaan ini 23 kerusi dari Sarawak, kalau tidak silap saya. Satu jumlah yang besar. Saya bersangka baik tapi itu pentingnya ketelusan supaya tidak wujud persepsi bahawa untuk menjaga stabiliti, kekal dapat sokongan Sarawak maka ada tolak-ansur,” katanya.

Isu ini dijangka berterusan dimainkan apatah lagi pilihan raya dijangka tidak lama lagi.

Datuk Zaid dalam video dimuat naik di facebooknya pada Januari 2023 pernah mempersoalkan mengapa Kerajaan Perpaduan memberi fokus kepada Sarawak dan Sabah terutama bab ‘perkongsian pendapatan’, sedangkan ia tidak dilaksanakan untuk negeri-negeri di Semenanjung.

Dipercayai beliau merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu mengenai peruntukan khas yang diberikan kepada Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, ditingkatkan kepada RM300 juta setahun berbanding RM16 juta yang diterima sebelum itu.

Apakah peguam Zaid lupa bahawa MA63 yang ditandatangani 62 tahun lalu, dan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, menetapkan peruntukan yang munasabah diberikan kepada Sarawak dan Sabah atas nama ‘pemberian khas’?

Ia tertakluk kepada semakan setiap lima tahun sekali. Mengapa Zaid buat-buat tak tahu banyak tahun bayaran itu tidak ditunai oleh Kerajaan Persekutuan?

Bayaran pertama dibuat pada 1965 sebanyak RM4 juta, digandakan pada 1966 kepada RM8 juta, manakala pada 1969, diberi RM16 juta, dan RM26.7 juta untuk Sabah. Namun, selepas itu bayaran ini dihentikan. Tiada alasan diberi, sekurang-kurangnya secara rasmi, terus senyap dan sepi.

Namun, Putrajaya mula mengakui dan mengiktiraf fakta ini apabila awal 2023, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Pemberian Khas RM300 juta, masing-masing kepada Sarawak dan Sabah bagi memenuhi desakan kedua-dua negeri sejajar dengan tuntutan di bawah MA63.

Jumlahnya dinaikkan pula kepada RM600 juta mulai tahun ini, berbanding RM300 juta sejak November 2023. Ini masih berbentuk sementara atau interim kerana Putrajaya berjanji untuk memberi agihan tetap tahunan.

Pada Jun 2024 pula Hassan menulis panjang lebar 18 perenggan dalam hantaran di Facebooknya bertajuk ‘Ujian dan cabaran terhadap kelangsungan sistem persekutuan di Malaysia, dengan memberi gambaran Sarawak mencabar Kerajaan Persekutuan.

Beliau antara lain mencoretkan bahawa Persekutuan Malaysia sejak penubuhannya pada 1963 kini sedang diuji ketahanannya iaitu ujian lebih besar daripada isu 3R (raja, agama dan kaum) atau isu penyelarasan subsidi diesel bersasar.

Ahli PKR itu juga menyentuh mengenai tuntutan Sarawak dalam MA63 bermula dengan perubahan nama jawatan Ketua Menteri Sarawak ditukar kepada Premier Sarawak.

“Sarawak dengan pantas telah menubuhkan syarikat minyaknya sendiri bernama Petros bagi menggantikan peranan Petronas di Sarawak.

“Tindakan-tindakan lain Sarawak yang dilihat mencabar kuasa Kerajaan Persekutuan ialah antaranya penolakan Sarawak terhadap sistem digital yang dipanggil PADU, dan secara unilateral Sarawak mengisytiharkan penggunaan meluas bahasa Inggeris di Sarawak dan juga hak melaksanakan dasar-dasarnya sendiri dalam bidang pendidikan termasuklah berkenaan program DLP (Program Dwibahasa) di sekolah-sekolah di Sarawak,” katanya.

Menjamu selera di Tasik Biawak

Makan roti canai bersama capati

Hormati OMO, DGO Sarawak

Penuhi MA63, biar janji ditepati

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: Penggayaan Jalur Gemilang: Semangat patriotik dan etika kebangsaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.