
BEIJING: Sorakan dan tepukan gemuruh bergema di seluruh Beijing pada Rabu apabila ibu negara China disinari dengan kemegahan, perarakan dan semangat patriotik, sempena satu perarakan besar-besaran yang memperagakan aset ketenteraan tercanggih negara itu.
Orang awam yang menggenggam bendera China memenuhi sepanjang jalan untuk menyaksikan acara pagi tersebut, manakala beberapa ribu yang memiliki tiket telah berkumpul seawal subuh di Dataran Tiananmen.
“Ini kali pertama saya menghadiri perarakan tentera. Sungguh mengagumkan dapat berada di sini,” kata Jenny Wang, penjawat awam berusia 24 tahun kepada AFP mengenai pertunjukan kekuatan yang dipimpin Presiden Xi Jinping kepada dunia.
“Adalah penting untuk memperingati tamatnya perang ini dan memastikan lebih ramai orang di seluruh dunia memahami konflik ini serta penderitaan yang dialami rakyat China ketika itu,” tambahnya.


BEBERAPA radar kelihatan dan sebuah kenderaan darat tanpa pemandu kelihatan semasa perarakan tentera. Foto AFP
Para tetamu kelihatan tersenyum lebar ketika bergambar bersama jemputan mereka berlatarkan Tiananmen pintu masuk bersejarah ke Kota Larangan yang dihiasi dengan bendera kebangsaan China.
Nombor emas gergasi ‘1945’ dan ‘2025’ didirikan di dataran, sebagai peringatan 80 tahun sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Ribuan kerusi merah dan hijau turut disediakan bagi meraikan majlis tersebut. Para hadirin menyanyi bersama koir besar yang menyampaikan lagu patriotik berunsur anti-Jepun sambil mengepal penumbuk ke udara.
Pancaragam tentera meniup sangkakala serentak mengiringi perarakan askar-askar yang melangkah megah merentas dataran.
RAKAN SEPERJUANGAN… KERJA KERAS
Dalam detik bersejarah yang belum pernah disaksikan, Xi dirakam berjabat tangan dan berbual mesra bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, serta Presiden Rusia, Vladimir Putin, ketika mereka berjalan menuju sesi bergambar bersama para pemimpin asing yang lain.


SEORANG pegawai tentera China memberi tabik hormat di hadapan sebuah trak yang membawa peluru berpandu permukaan ke udara HHQ-9C dan sebuah kenderaan udara tanpa pemandu kelihatan semasa perarakan tentera.
Mengenakan sut gaya China berwarna kelabu gelap, Xi berdiri dalam limosin hitam tanpa bumbung sambil melintasi barisan tentera yang berdiri tegak sepanjang Jalan Chang’an yang luas.
“Rakan seperjuangan, anda semua bekerja keras!” laungnya berulang kali ke dalam empat mikrofon, sebelum menyertai para tetamu di pentas utama di atas potret ikonik Mao Zedong di Tiananmen.
Upacara tersebut berlangsung dalam cuaca cerah, dengan suhu mencecah pertengahan 30-an darjah Celsius, cabaran besar bagi penonton yang duduk di tempat tidak berbumbung.
Beberapa individu yang tidak tahan cuaca panas telah dibantu keluar oleh petugas.


PASUKAN tentera China berarak dan Orang ramai berkumpul di sebuah jalan di luar kawasan yang ditetapkan semasa perarakan tentera. Foto AFP
Presiden Belarus, Alexander Lukashenko, sekutu rapat Putin dilihat memakai topi dan cermin mata hitam sambil menggunakan kipas elektronik untuk menyejukkan diri.
Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), pelancar roket dan kereta kebal berarak di hadapan para kenamaan, manakala pasukan tentera berbaris dalam formasi rapi dan tersusun.
Orang ramai segera mengeluarkan telefon pintar apabila sekumpulan helikopter terbang membentuk angka ‘80’ di langit Dataran Tiananmen.
Sorakan kekaguman seperti ‘Ooh” dan “Aah” kedengaran apabila peluru berpandu gergasi DF-5C ICBM didedahkan, dan sekali lagi apabila puluhan ribu burung merpati dilepaskan ke langit sebagai simbol keamanan.
KEBANGGAAN NEGARA
Bendera China berkibar megah di sepanjang jalan-jalan utama Beijing, yang jauh lebih lengang daripada biasa berikutan penutupan jalan sempena acara itu.
Aura keterujaan masih terasa di seluruh ibu negara meskipun perarakan telah selesai, dengan ramai penduduk menyatakan kebanggaan mereka terhadap pertunjukan kekuatan ketenteraan China yang begitu megah.
Sun Jianhua, 54, memberitahu AFP bahawa beliau menonton keseluruhan acara tersebut dari rumah.
“Rasa bangga dan hormat yang saya alami sukar untuk digambarkan,” kata penduduk Beijing itu dengan penuh emosi.
“Kita telah banyak berkorban semasa perang, membayar harga yang sangat mahal. Kini apabila keamanan dinikmati, kita semua harus menghargainya.”
Namun begitu, ada juga yang menyuarakan rasa bimbang bahawa China kini semakin “terpinggir” di arena antarabangsa, memandangkan hanya pemimpin dari 26 negara hadir tanpa wakil daripada negara-negara Barat utama.
“Negara-negara ini… semuanya negara miskin, negara yang kini ditekan oleh kuasa Barat,” kata Hu Daxian, seorang penduduk tempatan, kepada AFP.
“Keputusan mereka untuk menjalin hubungan dengan China, terus terang, adalah atas dasar terpaksa,” tambah lelaki berusia 50 tahun itu.
Beliau turut menyatakan bahawa ketiadaan pemimpin negara Barat adalah berpunca daripada “rasa iri hati”.
“Saya harap China dapat terus menjalin persahabatan dengan negara lain, agar mereka tidak terus cemburu.” – AFP