Menjelang hari kemerdekaan yang bakal disambut pada 31 Ogos ini, silabus pendidikan banyak menjurus kepada aktiviti-aktiviti berkaitan aspek kenegaraan.
Dari kelas taska, tadika, sekolah rendah dan menengah, sekurang-kurangnya satu aktiviti berkaitan hari kemerdekaan diadakan bagi menyuntik semangat kenegaraan di kalangan pelajar.
Pelajar kelas dewasa atau lebih dikenali sebagai Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga tidak terkecuali didedahkan dengan aktiviti serupa.
Di Kelas PLF Rumah Pree Anak Randie, Sengkabang Bukit dan Kelas PLF Kampung Pemindahan Marudi, para pelajar dewasa ini dilibatkan dengan beberapa aktiviti bertemakan kemerdekaan seperti Mewarna Logo Hari Kemerdekaan Tahun 2020, Kuiz Bertemakan Kemerdekaan, sumbangan Kek Merdeka dan Kibaran Jalur Gemilang.
Menurut Pegawai Pemaju Masyarakat PLF, Rita Sultan Abdullah, aktiviti ini memang dirangka dengan sasaran meningkatkan lagi semangat patriotisme di kalangan para pelajar ini.
Meskipun aktivitinya amat sederhana tetapi mesejnya besar, terutama mengingatkan mereka kembali dengan zaman-zaman sebelum kemerdekaan serta pelbagai nikmat yang rakyat negara ini nikmati selepas merdeka.
“Ada ramai di kalangan pelajar PLF yang lahir sebelum merdeka, jadi mereka sudah melihat sendiri bagaimana perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ini, kita mahu mereka turut serta meraikannya,” kata Rita.
Melalui aktiviti Kuiz Kemerdekaan, para pelajar diuji pengetahuan mereka tentang hal-hal berkaitan kemerdekaan seperti tarikh sambutan Hari Merdeka, tema sambutan Hari Kemerdekaan, nama pemimpin dan sebagainya.
Malah pelajar juga didedahkan secara ringkas dengan perkembangan-perkembangan terkini di dalam negeri atau negara.
“Diharapkan dengan aktiviti seperti ini para pelajar tahu serba-sedikit tentang perkembangan yang berlaku di negara ini. Kita juga berharap pengetahuan ini akan mereka kongsi dengan anak-anak atau rakan-rakan lain,” tambah Rita.
Sementara itu, Kelas PLF kelolaan KEMAS ini mensasarkan golongan dewasa, belia dan beliawanis serta remaja yang tercicir persekolahan untuk menjadi celik huruf dan celik angka.
Antara kriteria untuk peserta yang ingin menyertai kelas dewasa adalah mereka pernah bersekolah tetapi tidak menamatkan sesi persekolahan atau tidak pernah ke sekolah langsung.
Had umur mereka yang layak adalah dari 7 tahun sehingga 60 tahun tetapi tertakluk kepada daya penglihatan atau kemampuan peserta sendiri.
Peluang juga diberikan kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti tiada sijil lahir dan tiada kad pengenalan .
Kelas dilaksanakan selama tiga jam, sehari dalam seminggu dengan bertunjangkan konsep 3M (membaca, menulis, mengira), ditambah dengan skop wajib ajar iaitu aspek Kesihatan, Kesedaran Sivik, Ekonomi, Perlembagaan dan Kekeluargaan.
Pelaksanaan kelas dewasa ini bermatlamat mengurangkan kadar buta huruf dan seterusnya mencapai kadar sifar buta huruf di kalangan warga pedalaman negeri ini.
Oleh Haini Darani