
KUCHING: Sebuah gudang milik Vichome Development Sdn. Bhd di Bintawa Industrial Estate musnah dalam kebakaran awal pagi ini, namun tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 5.40 pagi, dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi kejadian sejauh 6 kilometer itu pada 5.47 pagi. Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada 6.20 pagi.
Komander Operasi, PBK II Tahir Tuah memaklumkan bahawa kebakaran melibatkan sebuah gudang struktur tidak kekal berkeluasan 150 x 120 kaki persegi yang terbakar 100 peratus setibanya pasukan bomba di lokasi.
Operasi turut dibantu oleh pasukan dari BBP Padungan dan BBP Batu Lintang. Pasukan BBP Padungan bertindak membentang dua aliran hos dengan dua nozel menggunakan sumber air dari pili bomba, manakala BBP Tabuan Jaya menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dan empat nozel untuk memadamkan kebakaran.
Pasukan bomba terpaksa menggunakan pendekatan Strategi Bertahan berikutan struktur premis yang telah mula runtuh dan ditutupi kepingan zink, sekali gus meningkatkan risiko kepada anggota operasi.
Menjelang 7.50 pagi, kebakaran dilaporkan telah dikawal dengan bantuan jentera PelantarTangga Udara (ALP) yang digunakan untuk pemadaman dari bahagian atas premis. Tiada mangsa terlibat dalam insiden ini.

Seramai 20 anggota dari tiga balai terlibat dalam operasi ini, dengan sokongan logistik melibatkan dua jentera FRT, satu EMRS, satu tanker dan satu ALP.
Turut hadir di lokasi ialah beberapa pegawai kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak termasuk Timbalan Pengarah Negeri JBPM Sarawak PPjB Tiong Ling Hii, Ketua BBP Tabuan Jaya TPgB II Ts. Mohamad Meramit, Pegawai Operasi Zon PKPgB Azaharul Sahari dan KC PGO PgB Hadwart John Rarandis.

Beberapa agensi lain turut memberikan kerjasama di lokasi kejadian seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta kehadiran Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.