

DALAM TALIAN….Program dalam talian ‘Ready for the Real World: Career and Soft Skills with Bangi Resort Hotel’ berlangsung serentak di KKSR dan KKSRCS, hari ini. Foto KKSR
SARIKEI: Kolej Komuniti Sarikei (KKSR) dan Kolej Komuniti Sarikei Cawangan Sibu (KKSRCS) hari ini mengukuhkan komitmen mereka dalam pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) melalui program dalam talian ‘Ready for the Real World: Career and Soft Skills with Bangi Resort Hotel’.
Menurut kenyataan media KKSR, program ini bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran insaniah, malah membuka peluang kerjaya yang signifikan.
“Seramai 37 pelajar semester akhir dan beberapa alumni yang berhimpun di bilik kuliah masing-masing di KKSR dan KKSRCS, mengambil bahagian dalam taklimat yang berlangsung selama 90 minit itu.
“Sesi ini menampilkan Hazel Thompson, seorang perunding jenama dan latihan yang berpengalaman luas dalam bidang hospitaliti.


DALAM TALIAN….Program dalam talian ‘Ready for the Real World: Career and Soft Skills with Bangi Resort Hotel’ berlangsung serentak di KKSR dan KKSRCS, hari ini. Foto KKSR
“Beliau bukan sahaja menyampaikan taklimat, tetapi turut berinteraksi dengan pelajar melalui platform SLIDO bagi membantu mereka memahami panduan untuk berjaya dalam kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah KKSR dan KKSRCS, Norasmah Jaafar menyatakan bahawa program ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kolej.
“Sebagai institusi TVET, menjadi keutamaan kami untuk memastikan setiap graduan mempunyai kemahiran yang relevan dan memenuhi standard industri.
“Inisiatif seperti ini sangat penting untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dan memastikan mereka kekal berdaya saing dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah,” tambahnya.
Norasmah berkata, perkongsian strategik dengan pihak industri seperti Bangi Resort Hotel adalah nadi kepada kejayaan program ini.
“Bangi Resort Hotel telah mengesahkan komitmen mereka dengan menawarkan tempat latihan industri serta peluang pekerjaan kepada graduan yang berpotensi.
“Ini membuktikan keyakinan industri terhadap kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh kolej,” katanya lagi.
Menurut KKSR, melalui taklimat ini, para peserta dari program Sijil Kulinari (SKU), Sijil Teknologi Maklumat (STM) dan Sijil Pengembaraan Pelancongan (SPL) mendapat pendedahan langsung tentang kemahiran insaniah yang kritikal.
“Panduan praktikal tentang komunikasi, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah yang dikongsikan oleh Hazel Thompson bertujuan untuk merapatkan jurang antara teori di bilik darjah dan realiti di alam pekerjaan.
“Program ini menandakan satu lagi langkah proaktif oleh Kolej Komuniti dalam memastikan graduan mereka bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga memiliki kecekapan insaniah yang tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan negara,” katanya.
Oleh Earl Anek