
MOSCOW: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata bencana iklim telah menyebabkan kerugian berjumlah 32 bilion euro (AS$37.4 bilion) kepada negara itu sepanjang lima tahun lalu.
“Ini adalah situasi darurat negara yang tidak terbatas pada kebakaran atau musim panas semata-mata.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, rakyat Sepanyol berdepan dengan Filomena (ribut salji musim sejuk yang melanda pada Januari 2021), hujan lebat …
“Iklim ekstrem ini memaksa kerajaan membelanjakan 32 bilion euro untuk menampung kerosakan material,” kata Sanchez pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Sejak awal Ogos sahaja, sebanyak 130 kebakaran direkodkan, memusnahkan 330,000 hektar tanah, kata perdana menteri.
Minggu lalu, kerajaan Sepanyol mengisytiharkan 16 daripada 17 komuniti autonomi negara itu sebagai kawasan terjejas teruk berpunca daripada kebakaran hutan.
Menurut anggaran yang diterbitkan oleh Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah, kebakaran hutan di Sepanyol telah memusnahkan lebih 410,000 hektar (1.01 juta ekar) sejak awal tahun ini, hampir 10 kali ganda berbanding 2024.– Bernama-Sputnik/RIA Novosti