LIMBANG: Cabaran dalam memasarkan produk hasil tani berskala besar merupakan antara penyebab kepada pengembangan industri ini bergerak perlahan.
Namun demikian, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemodenan Pertanian telah tampil dengan inisiatif lebih terancang yang membabitkan pembinaan beberapa Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CCPC) di Sarawak.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan negeri turut membuat pendekatan dengan melibatkan sektor swasta, yang penting dari segi pemasaran.
“Pendekatan melalui konsep ini akan kita gunakan di mana kita membina CCPC dan pada masa yang sama kita menjemput syarikat yang mempunyai pasaran di luar negara, agar dapat kita dapat mengeksport hasil tanaman ke luar negara,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek CCPC Kubong Limbang semalam.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jafaruddin Ali dan Jurutera Awam dari Pejabat Wilayah Utara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Mohamad Romzie Mohammad Ali Adaha.
ADUN Bukit Kota itu menjelaskan, CPPC satu bukti pandangan jauh kerajaan Sarawak untuk memperkasakan sektor pertanian sekali gus menjadikan negeri ini sebagai pengeksport dan hub pengeluar utama produk pertanian menjelang 2030.
“CCPC pertama yang ada di Sarawak terletak di Tarat iaitu khusus untuk durian dan juga buah-buahan yang lain dan telah pun beroperasi, manakala CCPC yang kedua dan ketiga adalah di Lawas, Limbang, Betong dan beberapa tempat lain yang akan dinilai mengikut kekuatan produk pertanian disesebuah kawasan berkenaan.
Menyentuh mengenai pembinaan CCPC Limbang yang berdepan kelewatan adalah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Oleh itu pelaksanaan projek CCPC Limbang dijadualkan siap pada 24 Mei 2021.
Manakala CCPC di Lawas kini sedang dalam pembinaan dan berapa pada peringkat akhir untuk disiapkan serta dijangka akan siap lebih awal dalam Ogos atau September ini.
Mengulas lanjut peranan CCPC Limbang, Dr. Abdul Rahman memberitahu tumpuan akan diberikan kepada beberapa jenis tanaman seperti durian, nangka madu, nanas dan kelapa serta tanaman lain.
Empat tanaman akan promosi dan diperluas bagi Daerah Limbang untuk memenuhi permintaan syarikat swasta yang akan bertindak memasarkannya di luar negara.
Oleh Adeng Edrus