
MIRI: Taktik licik sindiket menyeleweng diesel menggunakan kapal haram di tebing Sungai Miri terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Dalam serbuan sekitar 11.30 pagi itu, pasukan penguat kuasa berjaya merampas sebanyak 448,880 liter diesel, sebuah kapal, sebuah lori, pacuan empat roda, beberapa tangki simpanan serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.
Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, siasatan awal mendapati stor dan kapal terbabit tidak memiliki sebarang lesen, permit khas, atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barangan kawalan berjadual.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM1.27 juta, merangkumi diesel, kenderaan dan peralatan lain,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, semua barang sitaan akan disiasat lanjut bagi mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat, termasuk sumber bekalan dan rangkaian pengedaran diesel berkenaan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis yang tidak berlesen.
Matthew menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan diesel di Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling