KOTA TINGGI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa melawat destinasi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini, Desaru Coast Destination Resort di sini, semalam.
Pembangunan tersebut dengan kos pembangunan kasar bernilai RM4.5 bilion itu berada di landasan untuk siap dan dijangka mengubah landskap pelancongan di wilayah Tenggara Johor.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad memulakan lawatan itu dengan mendengar taklimat kira-kira 15 minit di Anantara Desaru Coast Resort and Villas yang berkeluasan 10.11 hektar.
Beliau yang dalam rangka lawatan dua hari ke Johor sejak semalam, kemudiannya melawat Hard Rock Hotel sebelum ke kawasan pembinaan Terminal Feri Desaru Coast yang akan menjadi pintu kemasukan antarabangsa ke-16 ke Johor apabila siap pada Jun 2021.
Mengiringi beliau dalam lawatan kira-kira satu jam itu adalah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad serta Pengarah Urusan Khazanah Nasional Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Pada sidang akhbar selepas itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Development Holdings One Sdn Bhd, Roslina Arbak berkata pembinaan terminal feri itu itu telah siap kira-kira 53 hingga 54 peratus.
Menurutnya, terminal berkenaan yang akan meningkatkan kesalinghubungan dengan akses langsung ke Singapura, Batam dan Pulau Bintan akan turut dilengkapi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) .
“Perdana Menteri meluahkan rasa gembira dengan pembangunan Desaru Coast dan menggalakkan kami untuk terus menjadikan destinasi itu agar lebih menarik kepada pelancong,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Muhyiddin.
Beliau berkata terminal feri itu dijangka menerima kira-kira 10,000 penumpang untuk tempoh separuh pertama mulai Jun hingga Disember.
“Kompleks CIQ Terminal Feri Desaru Coast bertujuan menguruskan ketibaan 300 penumpang dalam satu masa.
“Menjelang 2025, terminal feri itu berupaya mengendalikan lebih 102,000 ketibaan setiap tahun,”katanya.- Bernama