
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Bintang pop terkenal, Taylor Swift, dan pemain bola sepak Amerika, Travis Kelce, mengumumkan pertunangan mereka semalam, sekali gus membuka tirai kepada perkahwinan berprofil tinggi bagi salah satu pasangan selebriti terbesar dunia.
Hantaran bersama di Instagram mereka memaparkan gambar Kelce melutut dalam sebuah taman yang dipenuhi bunga untuk melamar, diikuti Swift yang menunjukkan cincin berlian bersaiz besar.
“Guru Bahasa Inggeris dan guru Pendidikan Jasmani anda akan berkahwin,” tulis mereka secara berseloroh dalam kapsyen.
Pasangan yang kedua-duanya berusia 35 tahun itu mula mendedahkan hubungan mereka kepada umum pada 2023, dan sejak itu kerap dilihat bersama di konsert Swift yang mendapat sambutan luar biasa serta di perlawanan NFL membabitkan Kelce bersama pasukannya, Kansas City Chiefs.

Tahun lalu, Swift menamatkan jelajah Eras yang menerima pujian meluas dan meraih pendapatan mencecah AS$2 bilion, sekali gus memecahkan pelbagai rekod dan mengukuhkan kedudukannya sebagai bintang muzik paling berpengaruh di dunia.
Jelajah itu melibatkan 149 persembahan berdurasi tiga jam di pelbagai lokasi antarabangsa.
Tiket-tiket dijual pada harga yang tinggi dan menarik jutaan peminat, termasuk ramai yang sanggup berkumpul di luar venue hanya untuk menyanyi bersama walaupun tanpa tiket masuk.
Swifties, gelaran kepada para peminat setia Taylor Swift kini menantikan kemunculan album terbaharunya, The Life of a Showgirl, yang dijadualkan dilancarkan pada 3 Oktober ini.
Pengumuman mengenai pelancaran itu dibuat awal bulan ini menerusi episod podcast New Heights milik Kelce, yang dikendalikannya bersama abangnya, Jason, seorang bekas pemain NFL.
Pemenang 14 Anugerah Grammy itu kali terakhir melancarkan album utama, The Tortured Poets Department, pada April tahun lalu.
Meskipun Swift terkenal dengan lagu-lagu yang mengisahkan kekecewaan cinta bersama bekas kekasih selebritinya, hubungannya dengan Kelce, salah seorang pemain NFL paling berpengaruh dilihat semakin kukuh, meskipun berdepan tekanan dunia glamor dan perhatian media.
Swift turut menjadi sasaran kecaman Presiden Donald Trump selepas beliau secara terbuka menyokong pencabarnya, Kamala Harris, dalam pilihan raya tahun lalu. Trump kemudian menulis di media sosial: “Saya Benci Taylor Swift.” – AFP