Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Pendekatan pengurusan keharmonian Sarawak
  • KOLUMNIS

Pendekatan pengurusan keharmonian Sarawak

Utusan Sarawak 20 hours ago

Pendahuluan

MALAYSIA dikenali sebagai sebuah negara kaya dengan kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Antara negeri-negeri di Malaysia, Sarawak menonjol sebagai contoh paling kompleks dan unik dari segi komposisi etnik dan budaya selain negeri Sabah.

Kumpulan etnik utama Sarawak terdiri daripada Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu, Cina, dan pelbagai suku etnik lain.

Kepelbagaian etnik Sarawak mewakili satu ekosistem sosial yang memerlukan pendekatan khusus bagi menguruskan perbezaan dan membina keharmonian.

Dalam konteks sosiologi dan antropologi, terdapat tiga pendekatan utama dalam memahami serta mengurus kepelbagaian budaya, iaitu multikultural, interkultural, dan silang budaya (cross-cultural).

Ketiga-tiga pendekatan ini mempunyai falsafah, matlamat dan kesan yang berbeza terhadap hubungan antara kumpulan etnik. Perbincangan ini cuba membahaskan pendekatan yang boleh dipertimbangkan

Multikultural: Berdampingan tetapi berasingan?

Multikulturalisme ialah pendekatan yang meraikan kewujudan bersama pelbagai budaya dalam satu ruang politik. Ia mengiktiraf hak setiap kumpulan etnik untuk mengekalkan budaya, bahasa, dan agama masing-masing tanpa asimilasi kepada budaya dominan.

Dalam kerangka ini, kepelbagaian dianggap sebagai kekuatan yang memperkayakan masyarakat.

Di Sarawak, bentuk multikultural ini dapat dilihat dalam sistem pendidikan dan sosial.

Sebagai contoh, sekolah rendah di Sarawak terdiri daripada pelbagai aliran – termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), serta sekolah antarabangsa yang banyak di bandar seperti Kuching dan Sibu.

Komuniti Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu juga mengekalkan tradisi seperti Gawai Dayak yang disambut secara meluas setiap tahun.

MASYARAKAT pelbagai kaum di Sarawak.

Namun, pendekatan ini tidak bebas daripada kritikan. Menurut sosiolog Will Kymlicka, multikulturalisme cenderung membenarkan pengasingan budaya secara tidak langsung, apabila kumpulan etnik hidup dalam zon sosial berasingan, dengan interaksi antara etnik yang minimum.

Di Sarawak, walaupun wujud toleransi, terdapat juga situasi masyarakat pelbagai kaum masih hidup dalam ‘komuniti paralel’, contohnya di kawasan luar bandar yang homogen etniknya.

Interkultural: Toleransi kepada interaksi bermakna

Berbeza dengan multikulturalisme, pendekatan interkultural menekankan interaksi aktif, dialog dan pertukaran nilai antara budaya.

Objektif utamanya ialah membina jambatan kefahaman antara komuniti etnik, sekali gus mewujudkan identiti bersama yang lebih inklusif.

Sarawak, secara tidak formal, telah lama mengamalkan interkulturalisme. Contohnya ialah perkahwinan campur yang lebih diterima di Sarawak berbanding negeri-negeri lain.

Perkahwinan antara Iban dan Cina, atau Bidayuh dan Melayu, bukanlah satu perkara asing. Kajian kesepaduan sosial Sabah dan Sarawak yang dikaji oleh penulis dan ahli kumpulan penyelidikan bagi Kementerian Perpaduan mendapati bahawa perkahwinan campur di Sarawak menyumbang kepada pembentukan identiti sosial yang lebih fleksibel dan terbuka.

Tambahan pula, sambutan rumah terbuka semasa perayaan seperti Gawai, Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina sering disertai oleh pelbagai kaum.

Tradisi ini bukan sahaja meraikan budaya masing-masing, tetapi turut menjadi ruang interaksi sosial yang memperkukuh solidariti merentas etnik.

Interkulturalisme juga jelas dalam pentadbiran Sarawak, iaitu struktur kabinet kerajaan negeri sering menyerlahkan penyertaan pelbagai etnik dalam kedudukan penting, berbeza dengan ketegangan politik perkauman di peringkat nasional.

Silang Budaya: Analisis tanpa integrasi?

Pendekatan silang budaya pula berbeza kerana lebih bersifat analitik dan akademik. Ia memberi tumpuan kepada perbandingan dan analisis perbezaan budaya dalam konteks tertentu – seperti dalam bidang perniagaan, pendidikan atau perkhidmatan.

Tujuannya ialah untuk memahami perbezaan agar dapat mengurus komunikasi dan interaksi dengan lebih efektif.

Contohnya, dalam sektor pelancongan di Sarawak, pemahaman silang budaya penting untuk melatih pekerja pelancongan memahami adat dan kepercayaan pelbagai kumpulan etnik.

Ini termasuk pengetahuan tentang pantang larang semasa memasuki rumah panjang, atau cara berkomunikasi dengan komuniti Orang Ulu dengan lebih cakna.

Namun, pendekatan ini tidak menjamin interaksi bermakna atau penyatuan sosial – kerana ia berasaskan pemahaman teknikal, bukan hubungan sosial yang mendalam.

Silang budaya juga digunakan dalam latihan korporat dan pengurusan sumber manusia, namun impaknya terhadap pembinaan perpaduan sosial adalah terhad.

Ia sesuai untuk tujuan profesional, tetapi tidak cukup kuat sebagai dasar sosial dan politik untuk mengurus kepelbagaian dalam masyarakat.

Interkultural pendekatan paling relevan

Daripada ketiga-tiga pendekatan ini, pendekatan interkultural merupakan pilihan paling sesuai untuk Sarawak, berdasarkan realiti sosial semasa dan aspirasi masa depan negeri tersebut.

Pertama, interkulturalisme menyokong usaha ke arah membentuk identiti kebersamaan tanpa menafikan kepelbagaian. Dalam konteks Sarawak, identiti ‘Anak Sarawak’ menjadi manifestasi intercultural, iaitu individu mengenal dan menghargai asal usul etnik mereka, tetapi turut merasakan keterikatan kepada negeri yang sama sebagai entiti sosial dan politik.

Kedua, pendekatan ini mampu menangani ketegangan antara hak identiti etnik dan keperluan integrasi nasional.

Di Semenanjung Malaysia, politik perkauman sering menimbulkan ketegangan antara kaum. Namun, di Sarawak, pemimpin politik pelbagai kaum sering bekerjasama dan mengelakkan naratif ekstrem.

Aspek ini menunjukkan potensi interkulturalisme untuk dijadikan model nasional.

Ketiga, pendekatan ini sejajar dengan falsafah kesepaduan dalam kepelbagaian atau falsafah ‘segulai sejalai’ yang sering dikaitkan dengan Sarawak.

Namun, berbanding hanya merayakan perbezaan secara simbolik seperti dalam multikulturalisme, interkulturalisme menyeru kepada perubahan dinamik ,contohnya melalui projek komuniti bersama, pendidikan rentas budaya dan seni merentas etnik.

Rumusan

Ternyata multikulturalisme, interkulturalisme dan silang budaya masing-masing memainkan peranan penting dalam mengurus kepelbagaian masyarakat.

Namun, dalam konteks Sarawak, pendekatan interkultural lebih bersifat menyeluruh dan berkesan kerana ia bukan sahaja mengekalkan identiti budaya, tetapi juga membina jaringan sosial yang kukuh antara etnik.

Pendekatan ini menggalakkan dialog, kefahaman dan perkongsian nilai, sekali gus mengelakkan pengasingan sosial yang sering berlaku dalam model multikultural tradisional.

Dengan sejarah hubungan etnik yang lebih harmoni, tahap penerimaan terhadap perkahwinan campur yang lebih tinggi, dan budaya pentadbiran yang lebih inklusif, Sarawak merupakan model interkulturalisme untuk seluruh Malaysia.

Dalam dunia yang semakin berpolarisasi, pendekatan ini bukan sahaja relevan, tetapi juga perlu untuk menjamin masa depan yang lebih bersatu dan adil untuk semua.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Fahami sejarah penjajahan negara kita – beza 31 Ogos dan 16 September

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.