Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Eksklusif: Budaya normalisasi buli, luka senyap yang terus berdarah
  • RENCANA

Eksklusif: Budaya normalisasi buli, luka senyap yang terus berdarah

Utusan Sarawak 12 hours ago
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Apabila menyentuh isu buli, reaksi spontan kita sering terikat antara melawan atau melarikan diri. Seolah-olah topik ini dianggap pantang larang, walaupun suara masyarakat kedengaran lantang setiap kali kes tular di media sosial.

Hakikatnya, budaya normalisasi dan kegagalan pencegahan awal masih tertanam kukuh dalam sistem kita.

Persoalan yang wajar ditanya: Adakah suara masyarakat benar-benar didengari, atau sekadar cukup untuk mencipta tajuk berita utama?

Mari kita rungkaikan dan dengarkan sendiri kisah lapan individu yang pernah menjadi mangsa dan saksi kepada budaya tidak sihat ini meninggalkan luka yang sukar dipulihkan.

Apabila disebut perkataan buli, kebanyakan orang hanya membayangkan pergaduhan fizikal atau jeritan di dalam kelas. Hakikatnya jauh lebih kompleks dan membimbangkan.

Buli hadir dalam pelbagai bentuk iaitu hinaan, ejekan, pengasingan, manipulasi emosi, dan penghinaan psikologi yang akhirnya merosakkan jiwa mangsa.

Di Malaysia, angka kes buli terus meningkat saban tahun. Namun di sebalik statistik itu, wujud satu budaya yang lebih menakutkan masyarakat melihat buli sebagai perkara biasa, sebahagian daripada proses ‘membesar’. 

Ramai yang membenarkan tindakan itu dengan alasan mereka juga pernah mengalaminya, tanpa sedar mereka sedang mengulang kitaran yang sama. Apabila tragedi berlaku, barulah semua bergegas menunjukkan solidariti.

Nani Oslo, 27.

‘Biasa la tu’

Kenangan tentang buli mengingatkan Nani Oslo, 27, seorang eksekutif pemasaran kepada perasaan tidak berdaya.

“Saya pernah mengalami dan menyaksikan kejadian buli. Ia membuatkan saya rasa tidak selamat, marah, dan seolah-olah tiada siapa yang mahu campur tangan,” katanya.

Baginya, punca sering bermula daripada kekosongan kasih sayang di rumah dan keinginan menunjukkan kuasa. Tetapi yang lebih merisaukan adalah mentaliti masyarakat. 

“Ramai yang kata, ‘oh budak lagi, biasa la tu’. Disebabkan mentaliti itu, mangsa tidak dapat perlindungan atau sokongan yang mereka perlukan,” tegasnya.

Arista Aini, 27.

Solidariti hanya selepas tragedi

Nada sebak terzahir daripada Arista Aini, 27, seorang pegawai amanah dan keselamatan, yang menyifatkan buli sebagai perbuatan kejam yang tidak wajar dimaafkan.

“Mangsa yang tidak mati sekalipun akan hidup dengan trauma yang panjang, menjejaskan masa depan kalau tidak dirawat dengan betul,” ujarnya.

Namun, katanya, masyarakat hanya terjaga apabila nyawa melayang. “Kalau kes sampai ke berita dan ada kematian, baru rakyat bangun bersolidariti. Tetapi pencegahan awal itu jauh lebih penting. Jangan tunggu mangsa meninggal baru kita bertindak,” katanya lagi.

Nick Carlson, 25.

Rasa takut yang tidak pernah hilang

Ada juga yang mengakui trauma itu berpanjangan. Nick Carlson, 25, seorang pelajar, berkata dirinya hilang keyakinan selepas menjadi mangsa.

“Saya jadi takut dinilai orang. Walaupun mahu membantu mangsa lain, saya tidak mampu kerana ketakutan itu lebih besar,” katanya.

Lebih menyedihkan, menurut Nick, ialah sikap menutup kes demi menjaga imej. “Banyak kes seolah-olah cuba ditutup. Akhirnya nyawa yang tidak berdosa menjadi taruhan. Itu sangat menyedihkan,” ujarnya.

Terry Anthony, 47.

Kuasa dan ketidakseimbangan

Bagi Terry Anthony, 47, seorang pengurus besar, buli berakar daripada ketidakseimbangan kuasa. 

“Ia boleh berlaku dalam bentuk fizikal, lisan, fitnah, malah politik dan ekonomi. Semua itu tetap buli,” katanya.

Beliau sendiri pernah diserang ketika di universiti. “Nasib baik saya ada ilmu seni bela diri untuk mempertahankan diri. Kalau tidak, mungkin trauma itu lebih lama menghantui saya,” ujarnya. 

Namun, tidak semua mangsa sekuat dirinya. Terry mengingatkan, ramai yang akhirnya terjebak dengan rasa takut, rendah diri, kemurungan, malah ada yang hilang tumpuan belajar dan bekerja.

Kimberly Aslie, 25.

Budaya hormat yang disalah guna

Pengalaman pahit turut dikongsi oleh Kimberly Aslie, 25, seorang pelajar yang pernah dibuli rakan rapat.

“Dulu saya peramah, suka bergaul. Selepas kejadian itu saya jadi pendiam, hilang keyakinan dan susah percaya orang,” katanya.

Menurutnya, pembuli sering terdorong oleh rasa tidak selamat dan mahu kelihatan dominan. Tetapi lebih menyakitkan, katanya, adalah sikap masyarakat yang menyalahkan mangsa.

“Soalan pertama selalunya, ‘apa yang awak buat sampai mereka marah?’, bukannya ‘apa yang pembuli itu buat pada awak’,” jelasnya.

Kimberly juga mengkritik budaya hormat senior yang memberi lesen kuasa kepada pembuli. “Hormat sepatutnya dua hala, tidak kira umur atau kedudukan,” katanya lagi.

Umar Hakimi, 20.

Mangsa dalam bayang-bayang

Bagi Umar Hakimi, 20, pelajar universiti, masalah buli adalah kegagalan sistem. 

“Buli bukan sekadar penderaan fizikal, ia juga cabaran mental. Hukuman masih terlalu ringan dan perlu diperketatkan,” ujarnya.

Lebih mengecewakan, kata Umar, ialah anggapan masyarakat. “Orang selalu kata ia tradisi atau cara mendidik. Hakikatnya, tiada apa yang positif daripada buli. Mangsa menderita dalam bayang-bayang, sedangkan pembuli bebas hidup macam biasa. Ini tidak adil,” katanya.

Emry Balla, 20.

Apati yang membarah

Isu ini turut ditekankan oleh Emry Balla, 20, seorang guru pelatih, yang pernah menyaksikan murid pendidikan khas dibuli ketika praktikum.

“Kasutnya dibuang ke tong sampah. Bila ditanya, tiada siapa mengaku. Situasi itu sama seperti zaman saya bersekolah dulu. Kita masih gagal memutuskan kitaran ini,” katanya.

Baginya, seminar dan poster tidak mencukupi. “Budaya tidak peduli sudah sebati dalam masyarakat. Semua tahu ia masalah, tapi tidak ramai yang berani menghentikan,” ujarnya.

Nur Atikah Abidin, 26.

Isu kemanusiaan, bukan gurauan

Bagi Nur Atikah Abidin, 26, seorang jurujual, buli tidak boleh dianggap gurauan. Beliau pernah menyaksikan seorang pelajar diejek kerana penampilan.

“Saya sedar betapa kecil hati dan rendah diri mangsa boleh rasa hanya kerana ejekan berterusan,” katanya.

Pesannya jelas: “Kuat bukan bermaksud menindas orang lain, tetapi melindungi mereka yang lemah. Mangsa, anda tidak bersendirian. Suara anda penting. Dan masyarakat, ingatlah buli bukan perkara remeh. Ia isu kemanusiaan yang mesti kita tangani bersama.”

Jangan tunggu korban seterusnya

Lapan suara ini membawa satu mesej: Buli bukan sekadar kenakalan di sekolah, tetapi fenomena sosial yang menghancurkan keyakinan, mencetuskan kemurungan, bahkan meragut nyawa.

Dalam kata-kata Nani: “Menyakiti orang lain tidak akan menyembuhkan luka dalam diri kamu.” 

Arista pula menegaskan, “Berhentilah membuli. Kalau kamu ada masalah, suarakan. Jangan lepaskan pada orang yang tidak bersalah.” 

Nick menambah, “Jangan tunggu sehingga ada kematian baru kita bertindak. Lakukan sekarang.”

Sementara Terry mengingatkan lantang, “STOP BULLY! Dunia sedang memerhati dan menilai kita.” 

Kimberly menegaskan, “Buli bukan jawapan. Kamu sebenarnya merosakkan hidup anak orang lain.”

Umar menambah, “Mangsa menderita dalam bayang-bayang, sedangkan pembuli bebas. Ini tidak adil.” 

Emry pula mengingatkan, “Kesedaran tanpa tindakan hanyalah apati.” 

Dan Atikah menutup dengan pesanan: “Buli bukan perkara remeh. Ia isu kemanusiaan yang wajib kita hentikan bersama.”

Buli adalah luka senyap yang masih berdarah. Selagi kita terus menormalisasinya, solidariti hanya akan muncul selepas tragedi.

Persoalannya, sampai bila kita mahu tunggu korban seterusnya?

Oleh Adele Rissa

Continue Reading

Previous: Wartawan veteran pernah berdepan komunis, helikopter hampir malapetaka antara pengalaman detik cemas 

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.