
SARATOK: Tekanan terhadap fasiliti kesihatan di kawasan luar bandar semakin mendesak, sehingga memerlukan perhatian segera dalam memastikan perkhidmatan perubatan yang lebih menyeluruh dapat dinikmati masyarakat.
Inilah antara inti pati sesi libat urus tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama Pejabat Kesihatan Bahagian Betong yang berlangsung di Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Antara tumpuan utama adalah pelan induk pembangunan fasiliti kesihatan bagi Saratok dan Kabong, termasuk cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Jenis KK3 di Pekan Saratok, tapak baharu Klinik Kesihatan Roban serta Klinik Kesihatan Mid Krian Bajau.
Turut diangkat, keperluan penambahan ambulans di kawasan pedalaman seperti Kabong, Nanga Budu, Nanga Atoi dan Nyabor.
Menurut Mohamad Duri, keluasan Daerah Saratok yang mencecah 1,686.88 kilometer persegi dengan populasi hampir 34,000 orang kini hanya bergantung kepada Hospital Saratok dan Pejabat Kesihatan Daerah Saratok.
“Hospital Saratok menerima purata 100 hingga 150 pesakit luar setiap hari, manakala rawatan ibu dan anak pula mencecah 50 hingga 100 pesakit.
“Namun, sehingga kini Pekan Saratok sendiri masih belum mempunyai sebuah klinik kesihatan. Klinik terdekat hanya di Roban, sejauh 15.2 kilometer dengan perkhidmatan yang terbatas,” ujarnya.
Atas dasar itu, cadangan mewujudkan Klinik Kesihatan Jenis KK3 di Pekan Saratok dilihat bukan sekadar pilihan, sebaliknya keperluan mendesak bagi menjamin akses rawatan lebih komprehensif dan holistik.
Kesepakatan ketiga-tiga ADUN berkenaan menggambarkan satu suara bersama dalam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat luar bandar, agar jurang perkhidmatan antara bandar dan pedalaman dapat dirapatkan melalui pembangunan fasiliti serta sokongan logistik yang lebih baik.
Turut hadir, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Kabong Dato Mohd Chee Kadir, dan ADUN Krian Friday Belik, dengan sesi dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid manakala pembentangan pula disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr. Mohamad NorHaizam Ahmad @ Narawi.
Oleh Adi Safarman