
TATAU: Pesta Tatau 2025 yang dijadual berlangsung dari 29 Ogos hingga 15 September dijangka menjadi acara pelancongan terbesar di sini, dengan menampilkan 34 acara utama sepanjang 18 hari penganjuran.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, pesta tahunan yang telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak itu dianjurkan oleh Pejabat Daerah Tatau dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu dan disokong oleh pelbagai agensi kerajaan, kelab, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Tema tahun ini adalah ‘Apabila Budaya Bertemu Perayaan’ mengetengahkan kepelbagaian budaya, tradisi serta aktiviti komuniti tempatan.
“Ia bukan sahaja sebuah pesta rakyat tetapi juga pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat setempat,” katanya pada sidang media Pesta Tatau 2025 di Pejabat Daerah Tatau, semalam.

Antara acara menarik adalah Malam Persona Budaya Suku Kaum melibatkan etnik Iban, Cina, Punan, Beketan, Kenyah, Vaie dan Bangsa Tatau, serta Malam Festival Tari Pesta Tatau 2025 yang menampilkan pertandingan tarian Iban, Melayu dan Orang Ulu.
Acara sukan air Kejohanan Bot Laju Pesta Tatau turut mencuri tumpuan dengan 17 bot dari Brunei dan pasukan tempatan dari pelbagai daerah, menjadikan keseluruhan 37 pasukan dengan 85 bot telah mendaftar setakat ini.
Selain itu, acara kemuncak yang dinanti-nantikan adalah Tatau Regata iaitu Raja Sungai dengan hadiah bernilai RM15,000 yang dijangka meningkat dengan sumbangan penderma tempatan.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus itu menggesa masyarakat dari seluruh Sarawak khususnya di Bintulu, Miri, Sibu, Selangau dan Kapit hadir bersama keluarga bagi memeriahkan pesta itu.
Oleh Carolyne Utih