
SIBU: Komunikasi berkesan, jelas serta tepat pada masanya merupakan aspek penting yang perlu diberi perhatian khusus ketika berdepan sesuatu krisis, tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee.
Beliau menegaskan, keutamaan dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat amatlah penting kerana sebarang maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan kekeliruan dan sukar dikawal apabila sudah tersebar luas.
“Komunikasi dan keutamaan cara berkomunikasi dengan rakyat sangat penting ketika krisis. Jika banyak cerita keluar, sama ada benar atau tidak benar, ia tidak mudah dikawal. Apabila kerosakan telah berlaku, bukan mudah untuk kita berpatah balik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis malam Apresiasi Media bersama Persatuan Wartawan Sibu (SJA) di sini, semalam.
Mengimbas kembali pengalaman ketika penularan pandemik COVID-19 di Sibu, Dr. Annuar menjelaskan bagaimana inisiatif mengadakan siaran langsung setiap petang menjadi saluran utama menyampaikan maklumat sebenar, termasuk perkembangan vaksinasi, sekali gus memelihara keyakinan rakyat.
Katanya, keyakinan rakyat menjadi faktor utama yang menentukan kejayaan usaha bersama mengekang penularan wabak tersebut.
“Ketika itu timbul isu vaksinasi. Ramai yang resah, sama ada mahu ambil atau tidak, dan kalau mahu ambil, bila akan dapat.
“Maka saya perlu terangkan kepada rakyat, bercakap benar supaya keyakinan rakyat terus terpelihara.
Bila keyakinan ada, lebih mudah kita bekerjasama capai apa yang perlu dicapai semasa pandemik ketika itu,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut menegaskan, beliau lebih selesa memberi pandangan dalam bidang tugasnya melibatkan pendidikan, inovasi dan pembangunan bakat.
“Secara semula jadi saya lebih suka menghadkan pandangan kepada perkara yang diberikan sebagai tugas atau tanggungjawab.
“Sebab itu, soalan di luar bidang terutama hal politik atau isu sensitif jarang saya jawab kerana bimbang timbul salah faham atau perpecahan,” katanya lagi.
Menurut beliau, setiap kenyataan yang dibuat membawa implikasi tersendiri, malah ungkapan ‘tiada pandangan’ juga boleh ditafsirkan sebagai satu pandangan.
Dalam pada itu, beliau mengakui peranan wartawan amat besar dalam menyampaikan berita yang betul serta memberi gambaran daripada perspektif rakyat.
Pada majlis tersebut, Dr. Annuar turut menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM10,000 kepada SJA bagi menyokong penganjuran aktiviti tahunan persatuan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting