
WASHINGTON: Cuaca buruk semalam memaksa SpaceX menangguhkan pelancaran terbaharu prototaip roket gergasi Starship, yang menjadi kunci kepada impian pengasasnya, Elon Musk, untuk menjajah Marikh serta rancangan NASA membawa pulang angkasawan ke bulan.
Ujian penerbangan ke-10 itu, yang kini dijangka berlangsung seawal hari ini, diadakan ketika Starship kenderaan pelancar paling berkuasa di dunia berada di bawah penelitian rapi susulan beberapa kegagalan letupan sebelum ini yang menimbulkan keraguan terhadap kebolehpercayaannya.
Roket gergasi setinggi 403 kaki (123 meter) yang diperbuat daripada keluli tahan karat itu sepatutnya dilancarkan dari Starbase milik syarikat berkenaan di selatan Texas, dalam jendela pelancaran yang bermula pada jam 6:30 petang waktu tempatan (2330 GMT).
Ini merupakan penangguhan kedua dalam tempoh dua hari selepas cubaan pada Ahad turut dibatalkan disebabkan kebocoran sistem darat, satu isu yang lazim dalam penerbangan angkasa lepas.
Misi ini bertujuan menguji ketahanan struktur peringkat atas yang turut dikenali sebagai ‘Starship’ atau ringkasnya ‘ship’, dan akhirnya akan digunakan untuk membawa kru serta kargo ketika ia melakukan penerbangan separuh mengelilingi dunia sebelum melakukan pendaratan di Lautan Hindi.

SpaceX turut merancang untuk menguji bahan pelindung haba baharu dan melancarkan satelit tiruan Starlink sebagai muatan.
Tidak seperti percubaan sebelum ini, roket penggalak ‘Super Heavy’ tidak akan ditangkap menggunakan lengan gergasi ‘chopstick’ pada menara pelancaran, sebaliknya akan cuba melakukan pendaratan terkawal di Teluk Mexico.
Pendekatan agresif syarikat itu “gagal dengan cepat, belajar dengan cepat” telah diiktiraf sebagai faktor utama yang memberikannya kelebihan besar dalam bidang pelancaran angkasa menerusi siri roket Falcon.
Kapsul Dragon milik SpaceX kini merupakan satu-satunya kapal angkasa buatan Amerika yang membawa angkasawan ke Stesen Angkasa Antarabangsa, manakala rangkaian satelit Starlink pula telah menjadi aset geopolitik yang penting.
Namun, kebimbangan semakin meningkat sama ada kejayaan ini mampu diterjemahkan kepada Starship, sebuah roket yang belum pernah wujud sebelum ini.
Peringkat atas roket ini telah meletup dalam ketiga-tiga ujian penerbangan sepanjang 2025.
Dua daripadanya menghamburkan serpihan ke pulau-pulau di Caribbean, manakala ujian ketiga berakhir apabila roket terputus selepas mencapai angkasa.
Pada Jun lalu, satu lagi peringkat atas turut meletup semasa ujian nyalaan statik di darat.Top of FormBottom of Form
‘TAMADUN PENJELAJAH ANGKASA’
Muncul dalam siaran langsung semalam, Musk seperti biasa tampil optimistik, mengulangi visinya untuk menjadikan Marikh sebagai ‘bot penyelamat’ kepada manusia sekiranya berlaku bencana di Bumi.
Namun, beliau menambah bahawa selain memastikan kelangsungan hidup, terdapat juga sebab yang lebih memberi inspirasi: “Masa depan di mana kita menjadi tamadun penjelajah angkasa jauh lebih mengujakan berbanding masa depan di mana kita tidak,” katanya.

Walaupun penerbangan kesepuluh ini berjaya, pelbagai halangan besar masih menanti.
“Terdapat ribuan cabaran kejuruteraan yang masih perlu diatasi bagi kedua-dua komponen kapal dan penggalak tetapi mungkin yang paling penting ialah membangunkan pelindung haba orbit yang boleh diguna semula sepenuhnya,” kata Musk yang mengenakan baju-T bertulis ‘Nuke Mars’.
Slogan itu merujuk kepada idea meletupkan bom nuklear di atas lapisan ais Marikh untuk membebaskan gas rumah hijau dan menjadikan planet itu lebih menyerupai Bumi.
Halangan utama lain ialah membuktikan bahawa Starship boleh diisi semula dengan bahan api ultra sejuk ketika berada di orbit, satu pencapaian yang belum pernah dilakukan, namun sangat penting bagi membolehkan roket itu melaksanakan misi ke angkasa lepas yang lebih jauh.
Sebarang kelewatan dalam program Starship juga berisiko menjejaskan program Artemis NASA, yang menyasarkan untuk menghantar angkasawan Amerika kembali ke bulan menjelang pertengahan 2027 dengan menggunakan versi Starship yang telah diubah suai sebagai kenderaan pendaratan. – AFP