MUKAH: ‘Peristiwa hitam’ yang menimpa ahli keluarga tidak menghalang bekas tentera untuk menyertai Pasukan Sukarela Angkatan Tentera Malaysi a(PSATM).
Namun, ujar Damat Anak Ijau, peristiwa menyayatkan hati yang berlaku pada 1972 itu tetap dalam kenangannya.
Ia melibatkan datuknya, Gaya Anak Jalang dan bapa saudara, Apong Anak Tapa yang menyaksikan salah seorang daripada mereka terkorban dan seorang cedera parah dalam kejadian itu.
Kata bekas tentera berumur 64 tahun itu, peristiwa hitam itu berlaku pada April tidak jauh dari rumah panjang mereka yang terletak di Batu 8, Jalan Oya Sibu.
“Saya masih ingat kejadian pada 6 April 1972 itu dan ketika itu umur saya ialah 16 tahun.
“Ketika itu, saya belum bekerja dan mengusahakan tanaman di kebun yang terletak sekitar satu kilometer dari rumah panjang kami,” katanya.
Tambahnya, semasa kejadian datuk dan bapa saudaranya dalam perjalanan pergi ke pekan untuk membeli barang makanan sekitar 7.00 pagi.
“Saya mendengar tembakan dari rumah panjang dan terus berlari ke tempat kejadian bersama orang kampung yang juga merupakan saudara saya,” katanya.
Lebih kurang 10 minit kemudian, kata Damat, mereka tiba di tempat kejadian dan mendapati datuknya terbaring di atas tanah dengan kesan tetakan di atas kaki dan kesan tikaman di leher dengan menggunakan benda tajam dipercayai pisau.
“Kedua-dua tangan datuk saya juga hampir putus mungkin kerana mempertahankan diri.
“Ketika itu dia masih bernyawa dan sempat memberitahu arah musuh pergi. Manakala, pakcik saya terbaring berdekatan dengan datuk saya dan terdapat kesan tembakan di lengan kiri dan kanan,” kata Damat.
Kemudian, katanya, dia kembali ke rumah panjang untuk mengambil pakaian kerana ketika itu dia hanya memakai tuala mandi.
Buat laporan di kem tentera
“Saya pergi ke jalan besar dan mendapat kereta sapu bersama tiga orang kampung antaranya ialah Langut Anak Nyegang untuk membuat laporan di Kem Tentera berdekatan Batu 14 Sibu dan tiba sekitar 8.45 hingga 9.00 pagi,” tambahnya.
Mereka melaporkan perihal kejadian yang menakutkan berkenaan kepada salah seorang pegawai tentera yang bertugas pada pagi itu.
“Saya tidak ingat nama tetapi kalau tidak silap saya beliau ialah Kapten Ahmad Johan kerana saya masih ingat mukanya seperti orang Cina dan badannya agak kecil.
“Saya nampak Kapten Ahmad memberi arahan kepada anggotanya untuk bergerak ke tempat kejadian,” kata Damat.
Setelah membuat laporan, ujarnya, dia bersama dua saudara pergi semula ke tempat kejadian dengan berjalan kaki merentasi jalan pintas.
“Kami tiba di lokasi sekitar 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Sampai di sana saya nampak pihak tentera cuba menjejak tempat musuh.
“Saya dan kawan yang lain berada di barisan belakang dan mendengar bunyi tembakan bertalu-talu. Saya juga mendengar tentera menjerit musuh di sebelah kanan, dan kemudian tembakan bertalu-talu sehingga senyap,” ujarnya.
Hasil daripada pertempuran tersebut, kata Damat, dua pengganas komunis, seorang lelaki dan seorang perempuan telah ditembak oleh tentera.
“Saya nampak kedua-kdua komunis dalam keadaan tenat sebelum mati. Helikopter tiba dalam sekitar 2.00 hingga 2.30 petang membawa mayat komunis dan juga anggota tentera yang cedera.
“Mayat datuk dan pakcik saya yang cedera telah dibawa pulang oleh orang kampung ke rumah panjang kami,” katanya lagi.
Damat menyertai PSATM pada 29 Mei 1981 sehingga 30 September 1986 iaitu tempoh perkhidmatan selama 5 tahun berdasarkan kepada BATD64 Pindaan 1983.
“Pangkat terakhir saya sebelum menamatkan perkhidmatan ialah Prebet.
“Saya pernah bertugas di Kem Penrissen, Unit 11 AW. Saya juga pernah bertugas di Kelantan daripada 1986 sehingga 1989 tetapi tidak direkodkan dalam buku perkhidmatan saya.
“Unit saya semasa itu ialah Bn 301(AW) Kem Batu 11 Tanah Merah, Kelantan,” katanya.
Menurut sumber, keterangan bertulis Damat mengenai kejadian tersebut telah direkod oleh pegawai tertinggi tentera di rumah panjang Dick Batu 8 Jalan Oya Sibu pada Oktober 2016.
Oleh Henry B Siyu