KUCHING: Kempen pelancongan intra negeri ‘Sia Sitok Sarawak’ menghidangkan tawaran menarik untuk pakej percutian kepada golongan barisan hadapan yang berjuang memerangi Covid-19 selama ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kempen yang dilancarkannya semalam akan mengutamakan penyertaan daripada golongan pejuang itu sebagai penghargaan atas usaha keras mereka selama ini.
“Kempen ini pertama kali akan dibuka kepada pejuang barisan depan dan pekerja bantuan Sarawak Covid-19 seperti kakitangan perubatan, polis, tentera, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC), RELA, APMM dan lain-lain yang layak untuk diberi keutamaan sebagai penghargaan atas kerja keras mereka, meletakkan nyawa mereka untuk membantu membendung penyebaran wabak itu,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian semasa melancarkan Kempen Sia Sitok Sarawak 2020 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Pada masa sama, Abdul Karim memberitahu kempen ini juga ditawarkan kepada semua rakyat Sarawak dan bukan rakyat Sarawak yang tinggal di negeri ini tetapi dengan izin kerja untuk menikmati produk pelancongan yang menarik dengan harga ‘durian runtuh’.
“Saya sangat gembira untuk mengumumkan pelancaran Kempen Sia Sitok yang dirancang dengan rapi oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF),” ujarnya.
Tambah Abdul Karim, kempen berkenaan menawarkan pelbagai pakej menarik untuk mengunjungi sebanyak 30 destinasi di seluruh Sarawak dengan potongan harga sehingga 50 peratus agar mampu menghidupkan kembali industri tempatan.
“Kerajaan negeri memberi subsidi kepada pakej yang ditawarkan hanya untuk rakyat Sarawak sebagai insentif agar mereka menyokong industri pelancongan tempatan,” jelasnya.
Justeru itu, Abdul Karim mendedahkan kempen Sia Sitok Sarawak itu mengikut perancangan hanya bermula dari 15 Julai hingga 15 Oktober namun berikutan pandemik ia terpaksa bermula sekarang dan akan dilanjutkan sehingga Disember nanti.
“Kempen ini merangkumi lawatan, dan aktiviti menarik di Kuching, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Mulu yang merangkumi lawatan sehari dan lawatan semalam serta perjalanan beberapa hari termasuk penginapan dan makanan,“Berikutan perjalanan antara zon telah dibenarkan, saya percaya ini adalah masa yang paling sesuai untuk anda dan keluarga merancang perjalanan singkat di sekitar Sarawak, melawat tempat yang tidak pernah anda terokai sebelumnya untuk mencipta kenangan bersama,” jelasnya.
Menerusi kempen ini, Abdul Karim mengakui bakal merangsang ekonomi pemain industri tempatan sekali gus melonjak ekonomi Sarawak pasca Covid-19.
Abdul Karim mengakui fenomena pandemik yang kini dalam kawalan, kementeriannya sudah memulakan langkah untuk memulakan semula industri pelancongan di Sarawak dengan memfokuskan kepada pelancongan domestik.
Untuk maklumat lebih lanjut, layari https://sarawak.travel/explore-all dan untuk tempahan, lawati https://siasitoksarawak.rezgo.com/.
Oleh Diyana Samsuddin