MATU: Program PROSPEK Daerah Matu merupakan projek perintis di negeri ini dan jika berjaya akan diperluaskan ke kawasan lain.
Untuk menjayakannya, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kerajaan memperuntukkan RM9 juta.
“Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menjalankan kajian terhadap projek bersepadu pembangunan kampung itu yang merupakan satu-satunya di Sarawak. Dan kerajaan memperuntukkan RM9 juta untuk projek printis ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Community Extension Outreach Program (CEOP) Siri 1 di Dewan Suarah Matu di sini semalam.
Program CEOP itu antara lain, katanya, untuk meningkatkan tahap kehidupan penduduk terutama dari segi ekonomi umpamanya pendapatan petani lebih RM4,000 sebulan.
“Namun semasa melawat di beberapa tempat tadi, saya melihat banyak petani atau nelayan di sini memperolehi pendapatan lebih daripada itu. Misalnya mereka yang terlibat dengan memproses obor-obor dan sesar unjur. Saya berharap kejayaan ini akan menjadi aspirasi kepada yang lain,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang menjadikan kawasan Matu sebagai salah satu kawasan pengeluaran makanan di negeri ini, dengan melihat obor-obor dan sesar unjur antara produk tempatan yang boleh dipergiatkan lagi.
Akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12, katanya, pembangunan luar bandar terutama untuk menaik taraf kehidupan rakyat adalah amat dekat di hati Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Justeru, Ketua Menteri mengarah kementerian saya mengaturkannya kerana dia sangat menitik berat tentang pembangunan dan taraf hidup rakyat di luar bandar. Dia menyediakan peruntukan yang besar untuk mencapai matlamat itu,”ujarnya.
Uggah juga berkata jeti pendaratan ikan di Kampug Pergau akan dinaiktaraf kerana ia amat penting bagi masyarakat nelayan di kawasan Matu.
Dia juga menyentuh tentang penambahbaikan SOP pemprosesan sesar unjur dan obor-obor dan berharap Jabatan Pertanian akan membuat laporan mengenainya dalam masa terdekat.
Pada majlis tersebut, Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, menyampaikan replika cek bantuan.
Yang pertama ialah Program Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) Kerajaan Sarawak untuk DUN Jemoreng Tahun 2020 bernilai RM265,500 dan Peruntukan Program Fasilitasi Pertanian (AFP) kepada peserta di DUN Jemoreng (RM444,000).
Uggah turut menyeru penduduk supaya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri sedia ada kerana Kerajaan GPS sering mengutamakan rakyat dan negeri ini.
“Saya juga ingin menyatakan hari ini, kes covid-19 di negeri sekali lagi sifar, dan marilah kita bersama-sama memeranginya dengan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menggunakan pelitup muka dan sebagainya,” kata Uggah.
Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya, Setiausaha Tetap Kemeterian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Edwin Abit, Pengarah Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet, Resident Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, dan Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni.
Oleh Henry Siyu