Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Wartawan veteran pernah berdepan komunis, helikopter hampir malapetaka antara pengalaman detik cemas 
  • RENCANA

Wartawan veteran pernah berdepan komunis, helikopter hampir malapetaka antara pengalaman detik cemas 

Utusan Sarawak 2 days ago

BERKONGSI PENGALAMAN SUKA DAN DUKA...Edward semasa berucap selepas menerima Anugerah Tokoh Wartawan Sibu 2025 sempena sambutan Hawana Sibu 2025 anjuran SJA.

DENGAN hanya berbekalkan buku nota dan kamera selain alat siaraya, pergerakannya ke kawasan pedalaman di Kanowit dengan berjalan kaki selama tiga jam bersama rakan setugas, pernah diperhatikan oleh anggota komunis.

Wartawan veteran, Edward Subeng Stephen,68, dan enam rakannya tidak menyedari hakikat itu dan hanya diberitahu oleh penduduk setempat sebaik tiba di destinasi.

Namun, mereka selamat sepanjang perjalanan kerana berpakaian biasa, tetapi pihak komunis pula menyasarkan pasukan keselamatan. 

Dalam satu lagi tugasan, Edward bersama rakan sedang berehat di tebing sungai, apabila turut diperhati anggota komunis dan sekali lagi mereka tidak ‘diusik’.

Malah, pernah pada awal 1980-an, ketika berada di udara, helikopter tentera yang mereka naiki hampir terlanggar pokok gara-gara mengelak awan. 

Semuanya itu adalah pengalaman detik-detik cemas dilalui Edward, yang berkhidmat selama kira-kira 48 tahun dalam industri media termasuk sebagai wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Wartawan veteran, Edward Subeng Stephen

Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Tokoh Wartawan Sibu 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) Sibu 2025 anjuran Persatuan Wartawan Sibu (SJA).

TAHNIAH…..Edward penerima Anugerah Tokoh Wartawan Sibu 2025 sempena sambutan Hawana Sibu 2025 anjuran SJA. Anugerah disampaikan oleh Albert Tiang wakil kepada Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang. Turut kelihatan ialah Pengerusi SJA, Florence Nervyn (kiri) dan timbalanya, Mohamad Alhadi Shamsawi (kanan).

Anak jati Sibu itu memulakan kerjayanya sebagai wartawan dan kemudian Penyunting Bahasa Malaysia akhbar The Sarawak Herald (kini tidak beroperasi) dari Jun 1976 hingga 1978.

“Di situlah kami dibimbing menulis berita dan teknik mencuci filem (kodak) untuk menghasilkan gambar. Selepas itu, saya dilantik sebagai Penyunting Bahasa Malaysia. Saya sering membuat liputan tokoh politik termasuk Tan Sri Lim Kit Siang dan lain-lain,” katanya.

Beliau kemudiannya menyertai Bahagian Akhbar Jabatan Penerangan di bawah Kawasan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) sebagai jurugambar sebelum dilantik sebagai Penolong Pegawai Penerangan yang membuat liputan di Bahagian Sibu, Sarikei, Kapit dan Bintulu.

“Kira-kira dua tahun saya menjadi jurugambar, apabila ada kekosongan jawatan Penolong Pegawai Penerangan, saya terus memohon dan berjaya dalam permohonan saya,” katanya.

Penyertaannya dalam RASCOM meninggalkan pelbagai pengalaman pahit manis yang sukar dilupakan.

Pada 26 Mac, 1972, RASCOM ditubuhkan bagi menyekat pergerakan komunis di Bahagian Ketiga (kini  Bahagian Sibu), Bahagian Enam (Sarikei) dan Bahagian Ketujuh (Kapit).

Edward juga pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri Taekwondo 7 Dan, Hapkido 2 Dan selain seni kuntau, menceritakan pengalaman mengambil gambar mayat, kemudian mencuci filem seorang diri di bilik gelap dan ia benar-benar menguji kekuatan mental dan fizikal.

“Kita dikehendaki mencuci ‘posthumous mugshot’ pada mulanya perasaan seram itu memang ada kerana ini adalah perkara baru bagi saya. Selepas beberapa kali berbuat demikian okay jaklah,” katanya.

Selain itu, katanya, setiap kali ada lawatan tetamu kenamaan ke rumah panjang atau perkampungan di luar bandar, mereka akan diarahkan untuk turun padang ke lokasi lawatan.

“Bagi saya ini khas untuk membuat liputan akhbar dengan diiringi oleh pasukan keselamatan di hadapan dan belakang lebih-lebih lagi untuk kawasan panas”.

“Pernah juga suatu ketika dalam awal 1980-an, saya dibawa menaiki helikopter tentera (Alouette Military Helicopter) yang hampir-hampir melanggar pokok gara-gara menggelak awan. Saya hanya menunggu bunyi dentuman sahaja ketika itu,” ujarnya dengan penuh semangat.

Di Kanowit, Edward dan rakan setugas pernah diarahkan untuk menyediakan alat siaraya (Public Address System) dan juru acara selain membuat liputan akhbar sempena lawatan seorang menteri.

“Kami seramai tujuh orang berjalan kaki ke rumah panjang sambil membawa peralatan, kerana belum ada jalan raya. 

“Perjalanan tersebut mengambil masa tiga jam. Setelah tiba pada sebelah petang, ada penduduk memaklumkan bahawa komunis telah memerhatikan perjalanan kami tetapi tidak mengganggu kerana kami berpakaian biasa, mereka hanya mencari individu berpakaian seragam atau anggota keselamatan.

“Peristiwa serupa berlaku di kawasan keranggan (tebing sungai) di Baleh, Kapit. Ketika berehat, kami tidak sedar diperhatikan oleh sekumpulan pengganas komunis. Sekali lagi, mereka tidak mengganggu kerana mungkin kami bukan sasaran mereka,” katanya.

Beliau juga pernah menemuduga seorang anggota wanita komunis hanya dikenali sebagai Noraini dari Kalimantan Indonesia dan dikatakan memiliki ilmu kebal.

“Saya juga pernah menemuduga pemimpin Iban yang terlibat dalam gerakan komunis di Sarawak, Ubong Nuing. Saya hanya dibenarkan menemuduganya tentang sebab dia mahu keluar dari hutan menyerahkan diri. 

“Ketika ditemuduga, beliau mengakui menyertai gerakan komunis setelah terperdaya dengan propaganda komunis,” jelasnya.

GAMBAR KENANGAN…..Edward pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri Taekwondo 7 Dan, Hapkido 2 Dan selain seni kuntau, ketika bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh.

Sambil mengimbau kembali cabaran dunia kewartawanan era terdahulu, Edward berkata tugas wartawan pada masa kini jauh lebih mudah berbanding era terdahulu berikutan kemudahan teknologi komunikasi yang semakin canggih.

Menurut bekas Bernama itu lagi, perkembangan teknologi menjadikan penghantaran berita dan foto lebih pantas dan efisien berbanding dahulu.

“Dulu bila hendak hantar berita, kita perlu gunakan telefon. Tidak semua tempat di luar bandar ada kemudahan ini, dan jika tiada, berita terpaksa disimpan sehingga kita balik. 

“Selepas itu kita guna mesin faks, kemudian in-house news system, dan kini hanya dengan telefon pintar segalanya lebih mudah,” katanya.

Edward menyertai Bernama pada 1997 sebagai Wartawan Daerah di Sibu dan Kuching sebelum bersara wajib pada 24 Jun 2018. Sepanjang bertugas, beliau pernah berdepan pengalaman getir termasuk ketika menaiki perahu panjang melalui jeram Pelagus dan karam di ulu Kanowit, Julau.

Selepas bersara dari Bernama, beliau menyertai Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebagai Pegawai Media kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hingga Jun 2025.

SATU KELEBIHAN….Edward ketika menyertai UKAS sebagai Pegawai Media kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa membuat liputan ketika pandemik Covid-19. Turut kelihatan ialah juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Satu kelebihan kerana berpeluang mendapat pendedahan kepada suasana politik peringkat tinggi serta menyaksikan dedikasi Datuk Amar dalam melaksanakan tugas sebagai menteri,” katanya.

Sebelum mengakhiri sesi temu bual, Edward menasihatkan wartawan generasi baharu supaya sentiasa mempertingkatkan ilmu dalam penulisan berita dengan banyak membaca.

Selain itu, rajin membuat kajian awal sebelum sidang media serta mengikuti perkembangan berita antarabangsa seperti konflik di Gaza dan Ukraine.

“Jangan lupa jaga kesihatan dengan bersenam, jangan merokok dan buat pemeriksaan saringan setiap tahun,” katanya.

Oleh AKUN GIMAN

Continue Reading

Previous: Suratan atau kebetulan
Next: Eksklusif: Budaya normalisasi buli, luka senyap yang terus berdarah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.