
Kawasan lokasi gempa bumi bermagnitud 4.1 magnitud di Segamat, Johor, pagi tadi. - Foto X METMalaysia
JOHOR BAHRU: Gegaran gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 yang melanda Segamat pagi tadi, tidak menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa setakat ini.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat berkata, gegaran berlaku pada 6.13 pagi dengan pusat gempa dikesan berhampiran Segamat.
Gegaran turut dirasai sebahagian penduduk di daerah berkenaan dan beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka serta selatan Pahang.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa yang diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan dan agensi berkaitan memantau secara berterusan bagi memastikan keadaan di Segamat selamat.
Sehubungan itu, Mohd Ezzuddin meminta orang ramai bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan agensi kerajaan lain serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.
“Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, METMalaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan, satu lagi kejadian gempa bumi lemah berlaku di 28km Barat Laut Kluang bermagnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer pada 9 pagi tadi.
Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang dan METMalaysia akan terus memantau keadaan.
“Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi diminta mengisi borang soal selidik melalui pautan https://forms.gle/wnvUfvdCEs9k64Uv5,” kata METMalaysia. – BERNAMA