
SIMANGGANG: Skuad Aqib X Kampung Boy FC mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke perlawanan akhir Liga Sri Aman 2025 selepas menewaskan SAPD FC 7-2 pada aksi separuh akhir petang tadi.
Perlawanan tersebut berlangsung di Kompleks Sukan Sri Aman dan menyaksikan aksi dominasi sepenuhnya oleh skuad pimpinan Jaffary Hamdan.
Pengurus pasukan, Alfian Abu Bakar berkata kemenangan besar ini adalah hasil kerjasama erat antara barisan pemain, jurulatih serta sokongan padu penyokong yang tidak pernah jemu memberikan dorongan.
“Alhamdulillah, pemain menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang perlawanan. Namun saya tidak menyangka barisan pemain yang diturunkan itu mampu menyumbat jaringan yang begitu besar sehingga tujuh gol.
“Ini adalah satu pencapaian yang harus dibanggakan dan mereka (pemain) harus mendapat pujian,” katanya kepada Utusan Sarawak, petang tadi.
Alfian berkata fokus kini beralih sepenuhnya kepada perlawanan akhir bagi memastikan kejuaraan sulung ini menjadi milik Aqib X Kampung Boy FC pada edisi kali ini.
Justeru, beliau tidak mahu pemainnya terus dibuai dengan kejayaan itu, sebaliknya terus memberikan fokus kepada perlawanan akhir menetang skuad Merpati FC, jam 3.30 petang esok.
Perlawanan akhir Liga Sri Aman 2025 yang berlangsung petang esok dan bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis, bakal menjadi medan penentuan kehebatan pasukan terbaik di bahagian tersebut.
Oleh Adi Safarman